Warganet terima 'bulat-bulat' berita di media sosial membimbangkan
- Suara Keadilan
- 6 minutes ago
- 2 min read

Kerajaan melahirkan kebimbangan terhadap kecenderungan warganet menerima maklumat secara ‘bulat-bulat’ daripada media sosial tanpa pengesahan, sekali gus berisiko menjadi mangsa penipuan termasuk melalui penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) deepfake.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil (gambar) berkata masyarakat tidak wajar menerima bulat-bulat kandungan dalam talian kerana tidak semuanya boleh dipercayai dan ia berbeza dengan laporan media arus perdana yang beroperasi mengikut garis panduan etika kewartawanan dan integriti tinggi.
"Kita nampak ada satu budaya sekarang ini… rata-rata warganet menerima ‘bulat-bulat’ apa yang mereka lihat dalam media sosial (sehingga) ada yang menjadi mangsa kepada scam yang melibatkan AI deepfake," katanya dipetik Bernama ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi Kementerian Komunikasi di Dewan Rakyat hari ini.
Fahmi memberi contoh tular berita palsu seperti kewujudan kereta kabel di Gerik, Ulu Perak, Perak dan fitnah kononnya Allahyarham Zara Qairina Mahathir meninggal dunia akibat dimasukkan ke dalam mesin basuh.
Katanya, terdapat juga individu yang menyamar sebagai pakar perubatan dalam siaran langsung TikTok sedangkan semakan dengan Kementerian Kesihatan Malaysia mendapati individu berkenaan mempunyai rekod penipuan.
Selain itu, beliau turut mengulas kenyataan Persatuan Wartawan Sabah (SJA) yang menegur kehadiran pempengaruh di sidang media kes kematian pelajar terbabit, seolah-olah berperanan sebagai wartawan tetapi hakikatnya hanya mengejar tontonan dan pulangan komersial.
"(Mereka) bertanya (soalan) tetapi sebenarnya niat mereka adalah untuk menghasilkan kandungan dengan niat keuntungan kepada diri sendiri… tetapi aspek integriti, aspek pengesahan identiti ini tidak dilakukan," katanya.
Sehubungan itu, Kementerian Komunikasi akan menggerakkan Jabatan Penerangan Malaysia, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan Jabatan Penyiaran Malaysia untuk menghasilkan kandungan penjelasan agar masyarakat lebih bijak menilai kesahihan maklumat.
Dalam konteks sama, Fahmi menegaskan kewujudan Majlis Media Malaysia yang telah diluluskan Parlimen Februari lalu adalah antara mekanisme utama memastikan masyarakat mendapat sumber maklumat sahih, sekali gus mengangkat integriti industri media negara.
Beliau berkata Akta Majlis Media Malaysia bukan sahaja mengiktiraf kebebasan media, malah menjamin kesejahteraan pengamal media serta keterangkuman dengan memberi representasi kepada golongan wanita, minoriti dan wakil Sabah serta Sarawak.
"Majlis Media ini penting untuk kita memperkukuhkan ekosistem kewartawanan profesional di negara ini. Ia juga selaras dengan usaha kerajaan memastikan rakyat tidak terus terdedah dengan risiko berita palsu dan fitnah yang tular di media sosial," katanya.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan menjelaskan keputusan untuk tidak mendedahkan nama lima remaja perempuan bawah umur yang dihadapkan ke Mahkamah Kanak-Kanak Kota Kinabalu, Sabah berhubung kes mencela Allahyarhamah Zara Qairina adalah berasaskan undang-undang.
Katanya, perkara itu terikat dengan Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak 2001 yang secara automatik melindungi identiti mana-mana kanak-kanak bawah 18 tahun dalam berdepan prosiding mahkamah.
"Ini bukan arahan mana-mana pihak tetapi kerana peruntukan undang-undang sedia ada, maka nama mereka tidak boleh didedahkan," jelasnya.