Warganegara guna Lesen Memandu Singapura layak mohon BUDI95
- Suara Keadilan
- 7 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Kerajaan MADANI terus menunjukkan komitmen tinggi memastikan tiada rakyat tercicir daripada menikmati manfaat di bawah Program Budi Madani RON95 (BUDI95).
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook (gambar) memaklumkan, Kementerian Pengangkutan (MOT) membuka laman web khas bermula hari ini bagi memudahkan rakyat Malaysia yang menggunakan Lesen Memandu Singapura memohon inisiatif berkenaan.
"Untuk makluman, menurut peraturan lesen pemandu di Malaysia dan Singapura, seseorang hanya dibenarkan memegang satu lesen sah sahaja – sama ada lesen Malaysia atau Singapura," jelasnya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura, khususnya sebagai pemandu, terpaksa melepaskan Lesen Memandu Malaysia bagi memperoleh lesen memandu republik itu.
Golongan pekerja itu jelasnya tinggal dan memiliki kenderaan berdaftar Malaysia untuk digunakan di negara ini.
"Syarat asas permohonan termasuk pemohon mestilah warganegara Malaysia, memiliki Lesen Memandu Singapura yang sah, serta mempunyai permit pekerjaan di Singapura.
"Bagi mereka yang tidak lagi bekerja di republik tersebut, permohonan semula Lesen Memandu Malaysia boleh dibuat setelah lesen Singapura dibatalkan," tambahnya.
Bagi individu terbabit, permohonan boleh dikemukakan melalui laman rasmi www.BUDI95lesenSG.jpj.gov.my untuk pertimbangan kelayakan oleh Kementerian Kewangan. Manakala semakan status boleh dibuat selepas 14 hari di www.budi95.gov.my
Comments