Warga Sindumin perlu bijak pilih kerajaan stabil, pro pembangunan
- Suara Keadilan
- 3 days ago
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Calon Pakatan Harapan (PH) di Sindumin, Yamani Hafez Musa menyeru rakyat Sabah agar memilih untuk menentukan kerajaan yang stabil dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 esok.
Beliau berkata pengundi turut perlu membuat keputusan bijak memastikan pentadbiran baharu nanti dapat bekerjasama dengan semua pihak termasuk kerajaan Persekutuan.
"Marilah kita memilih untuk [bentuk] kerajaan yang stabil dan boleh bekerjasama dengan semua pihak untuk warga Sindumin
"Melalui kerjasama seperti ini barulah suara rakyat didengari dan pembangunan dapat dipercepatkan," katanya dalam rakaman video dimuat naik di Facebook.
Yamani Hafez ketika membuat rayuan menjelang hari pengundian berkata beliau berjanji akan mencurahkan segala daya usaha dengan sepenuh hati untuk berkhidmat kepada warga Sindumin
"Segala aspirasi warga Sindumin akan kita realisasikan bersama," ujarnya.
Terdahulu beliau merakamkan penghargaan kepada bekas menteri Khairy Jamaluddin yang turun padang memberikan sokongan sekali gus menguatkan suara yang mahu masyarakat Sipitang bangkit lebih tinggi.
"Perubahan datang bila kita berdiri bersama, kita bukan hanya berkumpul untuk santai tetapi kita sedang membina gelombang baru untuk Sipitang," katanya yang menduduki senarai calon nombor lima.
Kerusi Sindumin menjadi antara kawasan tumpuan apabila menyaksikan Yamani Hafez yang merupakan anak lelaki Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman berdepan dengan saingan 10 penjuru.





