top of page

Warga maya puji PM Anwar berjiwa besar

Writer: Akmal Manaf
Akmal Manaf
12 hours ago
1 min read
DS Anwar dan DS Dr Wan Azizah memanjatkan doa di sisi jenazah Allahyarhamah Tun Hasmah, semalam
DS Anwar dan DS Dr Wan Azizah memanjatkan doa di sisi jenazah Allahyarhamah Tun Hasmah, semalam

Di saat politik sering mempertemukan perbezaan dan sengketa, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menunjukkan sisi berbeza apabila memberikan penghormatan terakhir paling tinggi kepada Allahyarhamah Tun Dr Hasmah Mohd Ali, meskipun suaminya, Tun Dr Mahathir Mohamad pernah menjadi seteru politiknya.


Tindakan Anwar yang juga Presiden KEADILAN menuai perhatian warga maya di media sosial yang menyifatkan kehadiran pemimpin berusia 79 tahun itu sebagai satu gambaran sisi kemanusiaan yang lebih besar melangkaui perbezaan politik.


Anwar bersama isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail hadir memberikan penghormatan terakhir dan menyantuni Dr Mahathir serta keluarga Allahyarhamah.


Rata-rata komen yang dikongsikan warga maya memuji tindakan berkenaan termasuk melihatnya sebagai contoh bahawa 'hubungan' politik tidak wajar mendominasi kehidupan sehingga mengetepikan hubungan kemanusiaan.


"Pandangan mata, genggaman tangan menggambarkan ketulusan hati.


"PMX (Anwar) hati bersih, tiada dendam.


"Mana nak cari pemimpin sehebat Anwar boleh lupakan politik, tetap datang ziarah isteri (Mahathir) yang meninggal," tulis pengguna-pengguna di ruangan komen media sosial.


Ada antara mereka turut menyifatkan detik pertemuan kedua-dua tokoh politik itu yang bertentangan pada era 1998 - 2018, berbaik pada 2018 - 2020 dan berbeza haluan sehingga kini sebagai sesuatu yang menyentuh hati.


Semalam, Anwar mengarahkan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan Panglima Angkatan Tentera (PAT) untuk membantu pengurusan dan memberikan taraf Istiadat Pengebumian Pembesar Negara kepada Siti Hasmah.


Siti Hasmah meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur pada jam 9.20 pagi semalam dan berita kematiannya disahkan anaknya, Tan Sri Mokhzani Mahathir.


Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada usia 100 tahun dan meninggalkan tujuh anak.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page