Warga IPT perlu main peranan bangunkan intelektual
- Suara Keadilan
- Jul 15
- 1 min read

Oleh: Helmi Mohd Foad
Universiti perlu memainkan peranan tersendiri untuk membangunkan pembentukan intelektual, sosial dan pendidikan.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Dr Zulkifli Hasan (gambar) berkata usaha sedaya upaya perlu dilaksanakan oleh setiap warga institusi pengajian tinggi (IPT).
"Universiti mempunyai peranan dan fungsi tersendiri antaranya intelektual, sosial dan pendidikan.
"Warga universiti dari segenap lapisan mesti berusaha sedayanya memainkan peranan ini sebaiknya," kata beliau.
Beliau berkata demikian dalam syarahan Madani pada Sesi Wacana dan Dialog Minda Madani di Program Karisma Pemimpin Muda Madani (Pentadbir Muda IPT) di Akademi Kepimpinan Pendidikan Tinggi (AKEPT), Negeri Sembilan.
Hadir sama Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.
Peserta dialog itu terdiri daripada pentadbir muda dari Universiti Awam dan Kolej Komuniti seluruh Malaysia.
Zulkifli berkata sesi dialog tersebut sangat interaktif dengan pelbagai soalan dan pandangan diberikan oleh peserta.
Jelas beliau peluang untuk berinteraksi dalam dialog itu merupakan satu penghormatan untuk berkongsi pandangan bersama para pentadbir muda IPT yang bakal menjadi tonggak kepimpinan institusi masing-masing.
"Saya cuba menjawab dan memberikan pencerahan sewajarnya. Semua nampak bersemangat untuk berkhidmat sebaiknya," ujarnya.
Dalam pada itu, Zambry dalam ucapannya menegaskan bahawa usaha memperkukuh pentadbiran IPT memerlukan pemimpin muda yang berilmu dan berkemahiran.
"Mereka juga perlu berjiwa besar, berintegriti serta memiliki semangat kebersamaan dan kecintaan terhadap institusi masing-masing," jelasnya.
Comments