Warga asing dilarang beli minyak masak bersubsidi mulai 1 Mac
- Suara Keadilan
- 44 minutes ago
- 1 min read

Kerajaan akan melaksana larangan pembelian minyak masak bersubsidi terhadap warga asing mulai 1 Mac ini.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Datuk Armizan Mohd Ali berkata, larangan itu akan dikuatkuasakan di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, dengan punca kuasa Akta Kawalan Bekalan 1961.
Jelas beliau, pihaknya kini sedang dalam proses perbincangan bersama Jabatan Peguam Negara berhubung pelaksanaan peraturan tersebut.
"Sebelum ini, terdapat banyak gesaan melarang pembelian oleh warga asing, namun peruncit membangkitkan aspek praktikal, iaitu mekanisme pelaksanaan larangan, termasuk kaedah pemantauan dan penguatkuasaan.
"Dengan adanya sistem yang hanya membenarkan warganegara membuat pembelian diintegrasikan dengan butiran kad pengenalan, ia akan membolehkan peruncit dan penguat kuasa melaksanakan larangan dengan berkesan," katanya dipetik menjawab soalan pada waktu pertanyaan menteri di Dewan Rakyat.
Sementara itu, sebagai menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengenai faktor penyelewengan minyak bersubsidi Armizan berkata, ketiadaan satu sistem yang memantau rekod pembelian minyak masak oleh individu menjadi antara punca penyelewengan sebelum ini.
Pengenalan Sistem Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (eCOSS) membolehkan setiap pembelian minyak masak paket bersubsidi oleh rakyat tempatan direkodkan secara sistematik sekaligus mengurus risiko ketirisan subsidi.
"Sistem eCOSS berjaya merekodkan penjualan lebih 20 juta paket minyak masak bersubsidi dalam kalangan warganegara, kita sudah ada data siapakah yang membeli minyak masak paket ini dan hala tuju program ini juga dapat kita tentukan bersandarkan kepada keputusan yang dipacu data.
"Itulah matlamat kita untuk memastikan subsidi dengan aplikasi kewangan yang cukup besar ini akan dapat diteruskan dan benar-benar memanfaatkan rakyat," tambahnya.





