Ketegasan PMX, ultimatum penjawat awam pulihkan maruah perkhidmatan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PMX) yang memberi ultimatum kepada penjawat awam supaya berundur sekiranya gagal melaksanakan amanah dengan berkesan.
Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) berkata, ketegasan tersebut bukan berbentuk ancaman politik sebaliknya satu peringatan moral dan institusi demi memperkukuh tadbir urus negara.
"Ini bukan ancaman politik. Ini adalah peringatan moral dan institusi. Amanah merupakan teras kepada perkhidmatan awam dan penjawat awam memegang kuasa bagi pihak rakyat," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut beliau, kegagalan melaksanakan amanah dengan jujur bukan sahaja mencemarkan integriti perkhidmatan awam, malah boleh dianggap sebagai pengkhianatan terhadap negara.
"Negara tidak boleh ditadbir oleh budaya selesa dan kebal. Apabila kegagalan tidak lagi membawa akibat, sistem akan lumpuh dan kepercayaan rakyat akan runtuh," tegasnya.
Mohd Azmi menegaskan bahawa ultimatum tersebut mampu mengembalikan maruah perkhidmatan awam dengan menekankan bahawa jawatan adalah satu tanggungjawab, bukan keistimewaan.
"Ultimatum ini mengembalikan maruah perkhidmatan awam. Ia menegaskan bahawa jawatan adalah amanah yang mesti dipikul dengan penuh tanggungjawab, bukan keistimewaan."
Beliau turut menekankan bahawa sebarang usaha reformasi hanya akan bermakna sekiranya disertai dengan keberanian politik dan pentadbiran untuk bertindak tegas terhadap kelemahan, rasuah dan sikap lepas tangan.
Dalam pada itu, MAPIM menggariskan beberapa pendekatan yang perlu mengiringi ketegasan tersebut, termasuk pelaksanaan penilaian prestasi yang telus dan adil, perlindungan kepada penjawat awam berintegriti serta tindakan berperingkat terhadap ketidakcekapan dan salah laku.
Mengulas lanjut, Mohd Azmi berkata budaya kerja berasaskan amanah dan khidmat perlu dijadikan teras dalam perkhidmatan awam demi memulihkan keyakinan rakyat.
"Ketegasan ini memberi isyarat bahawa era berkompromi dengan ketidakcekapan mesti berakhir," katanya lagi.
Beliau menegaskan bahawa MAPIM akan terus berdiri bersama setiap usaha yang bertujuan membersihkan institusi negara demi menegakkan keadilan dan memulihkan kepercayaan rakyat.









Comments