Malaysia-S'pura perkukuh kerjasama ekonomi, JS-SEZ masuk fasa pelaksanaan
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 2 min read

Oleh: Helmi Foad
Malaysia dan Singapura sepakat memperkukuh kerjasama melibatkan pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) yang kini beralih kepada fasa pelaksanaan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kerjasama Johor-Singapura merupakan perkongsian jangka panjang yang dibina atas asas kepercayaan, kesinambungan dasar dan manfaat bersama kedua-dua negara.
"Kerjasama ini bukan bersifat sementara sebaliknya merupakan komitmen strategik jangka panjang yang memberi tumpuan kepada pelaburan bernilai tinggi, pendigitalan, pembangunan mampan dan pembangunan bakat," katanya selepas menerima kunjungan hormat Menteri Pembangunan Negara Singapura, Chee Hong Tat di Putrajaya semalam.
Menurut Akmal, JS-SEZ menjadi tonggak utama hubungan ekonomi dua hala dengan menggabungkan kelebihan skala dan sumber Johor bersama modal, teknologi serta jaringan global Singapura.
Jelas beliau langkah itu dapat menarik pelaburan berkualiti tinggi, memperkukuh rantaian bekalan dan mewujudkan peluang pekerjaan berkemahiran tinggi di kedua-dua negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Malaysia kini berada di peringkat akhir penyediaan Pelan Induk dan Pelan Pelaburan JS-SEZ yang merangkumi visi jangka panjang, sektor keutamaan, zon utama serta pelan pelaksanaan tadbir urus, insentif, infrastruktur dan pembangunan bakat, dengan pelancaran rasmi disasarkan pada Mac depan.
Kedua-dua menteri turut membincangkan usaha memperkukuh Jawatankuasa Menteri Kerjasama Johor-Singapura (JSCMC) bagi menyediakan pengawasan lebih jelas dan tumpuan terhadap agenda kerjasama ekonomi khususnya JS-SEZ.
Struktur tadbir urus muktamad dijangka dibentangkan pada mesyuarat JSCMC akan datang di Singapura, kata Akmal.
Tambah beliau, kejayaan JS-SEZ bergantung kepada pelaksanaan yang berdisiplin serta komitmen berterusan kedua-dua negara bagi memastikan manfaatnya dirasai secara langsung oleh rakyat dan komuniti setempat.
"Dengan pelaksanaan yang jelas, tadbir urus yang kukuh dan kerjasama erat Malaysia-Singapura, JS-SEZ bukan sahaja bakal menarik pelaburan bernilai tinggi malah mewujudkan pekerjaan berkualiti dan memperkukuh daya saing ekonomi serantau," katanya.
Beliau menegaskan pengukuhan peranan JSCMC akan memastikan setiap inisiatif di bawah JS-SEZ dipantau secara berkesan dan memberi hasil yang nyata.
"Matlamat kita adalah memastikan kerjasama ini diterjemahkan kepada peluang sebenar untuk perniagaan, pekerja dan komuniti di kedua-dua negara, bukan sekadar di atas kertas," katanya lagi.









Comments