
Ungkapan Nurulhidayah Zahid, anak kepada Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi bahawa 'wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin' terus menerima kecaman pelbagai pihak.
Terbaharu mantan Senator Dewan Negara, Siti Aishah Shaik Ismail berkata, ungkapan Nurulhidayah itu tidak memaparkan kematangan beliau sebagai anak seorang ahli politik ternama.
Katanya, meskipun wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin tetapi tekanan hidup dan iklim politik sering memaksa wanita memimpin dan terbukti mereka berjaya.
"Saya sempat menonton satu klip singkat yang memaparkan sindiran ringkas Nurul zahid menyentuh soal "Wanita tidak dilahirkan sebagai pemimpin" dan ia adalah satu kenyataan atau sindiran jelas tidak memperlihatkan kematangannya sebagai anak seorang ahli politik.

"Mungkin dia lupa sikap kepimpinan bukanlah sesuatu yang datang secara tidak sengaja dan ia adalah sesuatu sifat kepedulian dalam diri yang akhirnya menterjemahkan mengapa dan kenapa kita harus bersama berdiri sebagai pemimpin.
"Semua manusia menjadi pemimpin diasbabkan sikap kepedulian dan keprihatinan yang tinggi di dalam diri dan ia adalah sesuatu yang lahir dari diri seseorang itu.
"Rujuk sahaja cerita-cerita sejarah yang memaparkan berapa ramai pemimpin-pemimpin wanita yang lahir sejak era sebelum kemerdekaan sehingga kini, yang menjadi ikon dan sumber inspirasi kepada kita yang harus dihadamkan oleh beliau sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan walaupun ia bersifat gurauan," katanya.
Selain itu, Siti Aishah juga meminta Nurulhidayah melihat sendiri ke dalam Umno yang dianggotainya dan boleh ditemukan begitu ramai pemimpin wanita yang berjaya sebagai ADUN, Ahli Parlimen dan Menteri Kanan.
"Sejarah mempamerkan banyaknya insan-insan di kalangan kepimpinan wanita yang berjuang dengan sepenuh hati yang harus dihormati oleh beliau.
"Beliau juga harus meneliti sejarah bagaimana Umno itu sendiri melahirkan ramai kepimpinan wanita yang menjadikan Umno sebagai satu parti yang mengangkat dan memartabatkan wanita sebagai salah satu kepimpinan yang harus dihormati," katanya.
Siti Aisyah menegaskan, kekurangan Nurulhidayah yang belum berjaya menjadi pemimpin Umno tidak sewajarnya dijadikan pedoman bahawa wanita lain tidak dilahirkan sebagai pemimpin.
Kata beliau, begitu banyak wanita yang berbakat memimpin di luar sana sama ada dalam kerajaan mahu pun pembangkang.
"Kepada Nurul Zahid mungkin apa yang kamu perkataan ialah satu fakta yang cuba kamu gambarkan kepada semua tentang diri kamu.
"Beliau mungkin tidak diilahirkan sebagai pemimpin kerana pemimpin hanya lahir dengan dhomir yang peduli kepada masyarakat, berbeda dengan beliau yang hanya menggunakan kelebihan sebagai anak pemimpin politik untuk meraih populariti," katanya lagi.