
Wanita Pakatan Harapan (PH) Selangor menyambut baik persetujuan Menteri Besar (MB) Datuk Seri Amiruddin Shaari untuk mengimplimentasikan polisi 30 peratus wanita dilantik sebagai Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Wanita PH Selangor, mereka yakin mampu memenuhi kuota tersebut dengan lantikan yang kredibel dan berbakat.
"Kami yakin justifikasi ini mengambil rujukan polisi yang telah ditetapkan pada 2013 yang mana Kerajaan Negeri Selangor telah pun menyediakan garis panduan setiap pihak berkuasa tempatan mempunyai sekurang-kurangnya 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar.
"Oleh itu, Wanita PH Negeri telah bermesyuarat dan sebulat suara siap siaga memenuhi polisi 30 peratus pelantikan Ahli Majlis sesi 2021-2022 pada Januari ini memandangkan bilangan calon-calon yang menepati kriteria sedia ada telah pun dikenalpasti seramai 84 orang dari komponen parti Pakatan Harapan," kata mereka dalam satu kenyataan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan oleh Ketua Wanita KEADILAN Selangor Rodziah Ismail, Ketua Wanita DAP Selangor Lee Kee Hiong dan Ketua Wanita AWAN Selangor Rawiyiah Zakaria.
Baru-baru ini, dalam Belanjawan Selangor 2021, MB Selangor mengumumkan RM 71.3 juta untuk pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat sebagai sebahagian inisiatif meningkatkan kedudukan wanita di Selangor.