
Oleh: Noraini Nordin
Dalam kehangatan gerak kerja kempen menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Kedah yang kian membahang ketika ini, Wanita Pakatan Harapan (PH) Kedah tidak terkecuali turut memainkan peranannya.
Ketua Wanita PH Kedah, Datin Sabrina Ahmad berkata, sejak awal lagi pihaknya sudah siap siaga untuk bersama-sama dengan jentera induk PH dan Kerajaan Perpaduan untuk menghadapi PRN kali ini.

"Wanita PH sentiasa dalam keadaan siap siaga untuk menggempur dan memastikan hasrat menawan Kedah menjadi kenyataan," kata beliau sewaktu ditemui di Majlis Suai Kenal dan Minum Petang Jentera Wanita Perpaduan di Sungai Petani, Kedah petang ini.
Malah, tambah Datin Sabrina kerja perang saraf di lapangan bagi mengenalpasti kekuatan dan kelemahan sudah pun lama digerakkan.
"Program suai kenal jentera petang ini diadakan bagi memudahkan keserasian dan gerak kerja kempen," katanya lagi.
Datin Sabrina yang juga Timbalan Ketua Wanita Perpaduan Negeri Kedah memberitahu, pihaknya akan memastikan bantuan semantapnya diberikan oleh tenaga kerja Wanita PH menjelang hari pengundian pada 12 Ogos nanti.

Tegasnya, keinginan Wanita PH tiada lain selain ingin memastikan perubahan Kerajaan Negeri Kedah agra dapat direalisasikan bagi kepentingan rakyatnya yang mahukan suasana kehidupan lebih baik lagi.
"Dengan kerajaan Kedah dapat diselarikan dengan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat, banyak manfaat yang akan diperolehi rakyat.
"Jentera Wanita PH akan bergerak seluas mungkin bagi memastikan pengundi-pengundi Wanita khususnya, benar-benar faham mengapa perubahan politik di Kedah amat perlu dilakukan pada PRN kali ini," tegas beliau penuh semangat.
Program petang tadi turut dihadiri Ketua Wanita PH YB Aiman Atirah yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Turut hadir pemimpin pemimpin bahagian, cabang serta akar umbi PH dan BN.