Pandemik Covid 19 yang menyebabkan hampir 3,000 kematian dianggap tragedi bagi rakyat Malaysia. Namun keganasan terhadap wanita dalam waktu wabak Covid dianggap pandemik yang tidak kurang mencabar.
Penasihat KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam ucapan perasmian Kongres Wanita KEADILAN pagi ini berkata, wanita di Malaysia seharusnya menyiapkan diri mereka menghadapi pandemik keganasan terhadap golongan berkenaan ketika jalan keluar pandemik Covid masih kabur dan suasana ekonomi negara kekal meleset.
"Amaran dunia khususnya Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan UNICEF, berkaitan peningkatan keganasan rumahtangga dalam tempoh pandemik adalah sangat membimbangkan.
"Malah bagi menggambarkan betapa seriusnya kes keganasan rumahtangga dalam tempoh pandemik, ia digelar “Pandemik dalam Pandemik” dan “Intimate Terrorism” bagi memperlihatkan betapa kritikalnya situasi tersebut. Negara kita tidak terkecuali.
"Data-data juga menunjukkan terdapat peningkatan panggilan talian psikososial. Setakat Oktober 2020, Selangor melaporkan kenaikan 80 peratus dalam kes keganasan rumahtangga. Saya menyeru agar kita mengambil inisiatif tegas dan melakukan advokasi (dalam hal ini) dengan lebih hebat," katanya.
Sehubungan itu, Dr Wan Azizah menyambut baik dan memuji kewujudan aplikasi “Kawan Komuniti” yang dilancarkan oleh Wanita KEADILAN awal tahun 2021 bagi membendung keganasan rumahtangga dan keganasan terhadap wanita.
"Inisiatif program dan aplikasi “Kawan Komuniti” yang dilancarkan Wanita KEADILAN baru-baru ini adalah pendekatan yang baik untuk membantu masyarakat dalam langkah pencegahan dan bantuan kepada mereka yang berdepan dengan masalah.
"Ini memang usaha yang baik. Tahniah Wanita," katanya.
Mengenai program vaksinasi pula, Ahli Parlimen Pandan itu mempersoalkan kelewatan suntikan vaksin sebagaimana dijanjikan sejak beberapa bulan lalu.
Katanya, kelewatan tersebut menyebabkan negara terpaksa melalui sekali lagi lockdown yang merugikan banyak pihak.
"Negara kita Malaysia adalah antara yang paling rendah liputan vaksinasinya. Rakyat bimbang dengan kenaikan kes yang terus menerus meningkat sehingga melebihi 9,000 kes baharu sehari, kes kematian mencecah setinggi 126 sehari dan kes aktif pula sudah menjangkau ke angka 80,000.
"Kadar pendaftaran melalui program Imunisasi Covid19 Kebangsaan (PICK), walaupun sudah meningkat kepada 100,000 inokulasi sehari, namun kerajaan harus lebih agresif dalam pemberian vaksin kepada rakyat.
"Negara harus segera mencapai Imunasi Kelompok. Apabila 75% atau lebih rakyat kita diberikan vaksin, Insha Allah Malaysia akan keluar dan pulih daripada krisis pandemik ini.
"Satu tindakan yang cepat serta pelan strategik ‘outreach’ yang baik dan jelas amat diperlukan untuk meningkatkan lagi kadar suntikan vaksin kepada rakyat. Ia harus melibatkan pelbagai pihak termasuk hospital swasta dan juga klinik perubatan awam yang mudah diakses oleh anggota masyarakat," katanya.
Dalam pada itu, Dr Wan Azizah juga mengulas nasib generasi muda yang bergelut dengan kehilangan pekerjaan dan ketiadaan peluang pekerjaan baharu.
"Pengangguran dalam kalangan belia kini mencapai setinggi 13.4% setakat Mac 2021.
"Secara keseluruhan pula mengikut Jabatan Perangkaan Malaysia bilangan penganggur mencecah 753,200 dengan kadar pengangguran 4.7 peratus pada Mac 2021," ujarnya dan mahu kerajaan lebih agreasif dalam usaha pemulihan ekonomi.
Selain itu, beliau turut mengecam Prosedur Standard Operasi (SOP) Dua Darjat dan SOP yang bertukar-tukar memburukkan lagi persepsi rakyat terhadap usaha memerangai Covid 19.
Namun Dr Wan Azizah tetap berharap kerajaan akan melihat situasi secara menyeluruh dan memikirkan polisi-polisi yang lebih baik menangani dan menyelesaikan masalah.
Comments