Wanita perlu jadi penggerak utama parti - Nurul Izzah
- Suara Keadilan
- 2 hours ago
- 1 min read

Calon Timbalan Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar bertekad mahu menjadikan wanita sebagai penggerak utama parti.
Katanya, tekad itu yang mendorong beliau menawarkan diri untuk bertanding jawatan timbalan presiden bagi penggal 2025-2028.
"Saya ambil keputusan ini kerana sayangkan perjuangan ini. Selama ini wanita sering dilihat hanya memainkan peranan sampingan, tetapi kini saya mahu wanita menjadi penggerak utama.
"Saya bertekad untuk menggunakan kekuatan dan kebijaksanaan wanita bagi menyatukan hati seluruh anggota parti," katanya dipetik The Malaysia Press dalam Program Temu Rapat Akar Umbi Bersama Nurul Izzah di sebuah hotel di Ipoh, Perak, malam tadi.
Dalam ucapan itu, Nurul Izzah mahu seluruh ahli parti memperkukuh jentera serta membawa agenda yang benar-benar menyentuh keperluan rakyat.
Beliau juga sempat mengimbau penglibatan awalnya dalam gerakan reformasi 1998. Beliau yang menjadi pimpinan wanita muda reformis pada waktu itu berjuang dalam keadaan serba sukar.
"Saya ini sebenarnya seorang yang pemalu, tetapi saya gagahkan diri juga kerana perjuangan ini menuntut pengorbanan,” katanya lagi yang mahu memperkasa parti mendapatkan lebih banyak kerusi pada Pilihan Raya Umum ke 16 kelak.
Perak menjadi negeri pertama yang dikunjungi Nurul Izzah selepas beliau rasmi menjadi calon timbalan presiden.
Kehadiran beliau disambut lebih 1,000 hadirin termasuk pimpinan KEADILAN negeri, ketua cabang dan pemimpin akar umbi.
Turut hadir ialah Pengerusi KEADILAN Perak, Mohamad Hairul Amir Sabri; Timbalan Pengerusi, Mohd Azlan Helmi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perak, Zaim Sidqi Zulkifly.