top of page

Wanita perlu dilihat masyarakat berjuang isu gender, kurang gizi, jaminan makanan



Wanita KEADILAN seharusnya dilihat oleh masyarakat memperjuangkan isu isu setempat dan semasa agar meraih sokongan majoriti rakyat pada waktu diperlukan mereka membuat perubahan pemerintah.


Hal tersebut diutarakan oleh Ibu Reformasi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dalam ucapan perasmian Kongres Wanita KEADILAN, pagi tadi.


Menurut beliau, Wanita perlu menunjukkan kerja kerja konsultasi kepada masyarakat terutama dalam era endemik yang mana tekanan hidup lebih pelbagai berbanding keadaan sebelum ini.


"Selepas dua tahun kita mengharungi era pandemik dengan segala cabaran dan tribulasi yang tidak sedikit memberikan impak kepada kehidupan, menuju fasa endemik, maka ujian sebenar adalah bagaimana kita membina ketahanan dan daya tahan (resilience) yang utuh pasca pandemik ini.


"Salah satu daya tahan yang sangat kritikal pastilah daya tahan ekonomi untuk survival rakyat yang semakin hari semakin tertekan dengan kos kenaikan harga barang dan sara hidup yang tinggi.


"Saya cukup terkesan melihat keadaan ini memanadangkan semasa saya menjawat jawatan sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya sendiri mempengerusikan sebuah mesyuarat khas yang berkait rapat dengan kos sara hidup bagi memastikan kesejahteraan rakyat dan kehidupan rakyat benar-benar dalam keadaan yang memuaskan dan segala hak fundamental mereka dijamin sepenuhnya.


"Saya cukup bimbang keadaan mendesak dan sukar ini akan menyebabkan lebih banyak impak terburuk kepada rakyat khususnya kemiskinan yang disebabkan ketiadaan liputan perlindungan sosial dan kebajikan yang kalis kejutan, peningkatan kes dan isu kesihatan mental akibat tekanan hidup, dan yang paling saya risau adalah peningkatan kadar malnutrisi di kalangan kanak-kanak," katanya.


Menurut Ahli Parlimen Pandan itu lagi, sebelum ini apabila berlaku peningkatan harga barang kesan segera dilihat kepada kanak-kanak termiskin, khususnya kanak-kanak yang mengikuti program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) apabila para pengusaha kantin tidak dapat menyediakan makanan berkhasiat dan terpaksa menarik balik hidangan berasaskan protein penting termasuk telur dan ayam kerana peningkatan harga yang membebankan.


"Isu malnutrisi ini juga akan memberikan kesan kepada hidangan di dapur setiap rumah B40 yang juga terkesan dengan kenaikan kos sara hidup. Kita bukan sahaja berdepan dengan malnutrisi kanak-kanak sebagai impak utama tetapi seluruh ahli keluarga khususnya B40 yang tidak ada pilihan lain melainkan hidup dengan apa yang ada sahaja," katanya.


Justeru, beliau berharap wanita KEADILAN akan menjadi penyelesai masalah di tengah tengah masyarakat serta terus dilihat signifikan dalam melaksanakan program-program khidmat kebaktian kepada masyarakat.


"Kehadiran wanita KEADILAN harus sentiasa visible dan dampaknya dirasai dalam setiap sanubari rakyat.


"Apatah lagi ketika ini kita berhadapan dengan kelesuan politik di kalangan rakyat.


"Ruang yang ada ini harus segera diisi oleh KEADILAN sebagai sebuah parti yang sentiasa memiliki daya tahan, daya juang serta daya inovasi yang tinggi dalam memperjuangkan isu-isu rakyat," katanya.


Selain itu Dr Wan Azizah juga menyentuh mengenai kedaulatan makanan ( food security) dan climate change (perubahan iklim) yang sangat terkait dengan kehidupan.


"Bagaimana mungkin kita bercakap tentang kedaulatan makanan tanpa memperkatakan peranan komuniti dan keupayaan Malaysia di masa hadapan menjamin kedaulatan makanan. Atas dasar itu, saya menyarankan agar kebun-kebun komuniti mesti diberikan dokongan dan pengupayaan dasar yang lebih kukuh dalam usaha menjamin kedaulatan makanan untuk negara.


"Perubahan iklim pula adalah komitmen besar yang tidak ada kompromi khususnya dalam memperteguhkan polisi negara tetapi dalam masa yang sama, apakah kita bersedia melihat impak perubahan iklim ini dalam konteks kalis kejutan, persediaan komuniti khususnya persediaan dana dan pengupayaan fasiliti negara ketika berhadapan dengan banjir besar, kemarau panjang serta ribut yang tidak ketentuan?


"Bagaimana pula dengan kesan psikososial yang jauh lebih membebankan perasaan akibat kehilangan nyawa, harta dan tempat perlindungan yang bagi saya semua skop atau lantai perlindungan sosial rakyat mesti diberikan perhatian yang serius," katanya lagi.


Dalam ucapan itu juga Dr Wan Azizah tidak lupa mengucapkan takziah kepada mangsa banjir kepala air di Baling, Kedah minggu lalu terutama kepada keluarga yang kehilangan orang tersayang. Juga kepada rakyat yang kehilangan anggota keluarga sewaktu pandemik Covid 19 sepanjang dua tahun lalu.

0 comments

Recent Posts

See All

Comments


PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page