Wanita KEADILAN Wilayah kecam penahanan 9 sukarelawan FFC
- Suara Keadilan

- Oct 10
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Wilayah Persekutuan mengeluarkan kenyataan tegas mengecam tindakan zalim rejim Israel menculik sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) X Thousand Miles to Gaza (TMTG).
Penahanan itu jelas mereka bukan sahaja mencabuli hak asasi manusia, malah memperlihatkan keangkuhan Israel yang terus menafikan usaha masyarakat antarabangsa untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan.
"Kami mendesak agar semua rakyat Malaysia yang ditahan segera dibebaskan tanpa syarat. Semangat kemanusiaan tidak harus dipenjara oleh kuasa," tegas Ketuanya, Jamilah Awang.
Terdahulu, sembilan kapal misi Freedom Flotilla Coalition – Thousand Madleens to Gaza (FFC-TMTG) membawa bekalan bantuan untuk rakyat Palestin dipintas tentera Israel sebelum dibawa ke Pelabuhan Ashdod.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Kamarul Zaman Shaharul Anwar memaklumkan, proses rundingan masih berjalan antara peguam Hak Asasi Minoriti Arab di Israel (ADALAH) dan pihak berkuasa Israel.
Sementara itu Jamilah menerusi kenyataan sama berkata, tindakan rejim Israel membuktikan kerakusan kuasa yang menindas rakyat Palestin serta mereka yang berjuang atas nama kemanusiaan.
"Kezaliman Israel mesti dihentikan hak untuk hidup dan kebebasan tidak boleh disekat.
"Wanita KEADILAN Wilayah Persekutuan berdiri teguh di sisi rakyat Palestin dan konsisten menolak setiap bentuk penindasan dan kekerasan," tegasnya.









Comments