Wanita KEADILAN usaha 30% kerusi dipertanding untuk calon wanita
- Suara Keadilan

- Jul 16
- 2 min read

Oleh: Akmal Manaf
Wanita KEADILAN Sabah diyakini sudah bersedia untuk berdepan cabaran Pilihan Raya Negeri (PRN) 2025 dengan semangat berpasukan serta usaha dan tekad terbaik bagi membantu rakyat di negeri berkenaan.
Keyakinan itu disuarakan Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Juwairiya Zulkifli, ketika siri Jelajah Jawatankuasa Pilihan Raya Wanita Pusat (JPRWP) yang berlangsung di Negeri di Bawah Bayu itu pada 12 dan 13 Julai lalu.
Menerusi satu kenyataan, Juwairiya memaklumkan sebaik tiba di Kota Kinabalu, beliau ke Bilik Gerakan Utama bagi sesi mesyuarat bersama Cabang Kota Kinabalu khususnya berhubung kerusi DUN Api-Api yang perlu dikekalkan.

"Terima kasih kepada Ketua Cabang, Grace Lee dan seluruh kepimpinan Cabang yang hadir. Seterusnya adalah sesi bersama pimpinan Wanita Sabah berhubung kerusi-kerusi sasaran Wanita.
"Selaku Pengarah Pilihan Raya Wanita KEADILAN Pusat, menjadi tanggungjawab saya untuk mengusahakan yang terbaik agar sasaran 30% kerusi yang dipertanding KEADILAN diperuntukkan untuk calon wanita.
"Namun, sudah tentu banyak faktor perlu diambil kira yang mana akan diputuskan oleh pimpinan di meja rundingan serta dimuktamad oleh Presiden, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya di Facebook.
Dalam kenyataan sama, turut dimaklumkan adalah pertemuan dan perbincangan bersama Pengarah Pilihan Raya Negeri Sabah, Peto Ghalim berhubung tuntutan kerusi Wanita dalam PRN Sabah kali ini.
"InsyaAllah diharapkan dengan persefahaman ini, tuntutan 30% kerusi Wanita KEADILAN Sabah dapat direalisasikan dengan sokongan semua pihak," katanya sambil menambah siri jelajah itu turut disertai Timbalan Pengarah JPRWP, Wasanthee Sinnasamy dan Setiausaha, Uma Nanthini.
Turut diadakan adalah sesi pertemuan dengan Ketua dan Timbalan Ketua Wanita Cabang Sepanggar bagi membantu beberapa isu yang timbul.
Sesi pertemuan kedua-dua Cabang itu turut disertai oleh Pasukan Pembimbing Lapangan (PPL) Jabatan Pilihan Raya Pusat.









Comments