Wanita KEADILAN tingkat kerjasama serantau bersama GOLKAR, Dewan Da’wah
- Suara Keadilan

- Jun 27
- 2 min read

Wanita KEADILAN terus komited memperkukuh kerjasama serantau, khususnya dalam bidang politik dan dakwah, menerusi lawatan rasmi ke Jakarta yang melibatkan kunjungan ke dua institusi penting Indonesia — Partai GOLKAR dan Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia.
Delegasi seramai 18 orang daripada Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN Pusat (MPWP) yang diketuai oleh Ketua Wanita KEADILAN, Fadhlina Sidek telah mengadakan kunjungan hormat ke Ibu Pejabat Partai GOLKAR serta pertemuan strategik bersama pimpinan Dewan Da’wah pada 23 Jun lalu.
Dalam kenyataan rasmi, Wanita KEADILAN memaklumkan bahawa kunjungan ke parti GOLKAR menjadi medan penting dalam memperkukuh kerjasama dwiparti, berasaskan nilai perjuangan wanita dalam politik serantau yang menjunjung semangat kemanusiaan dan hak asasi.
"Delegasi disambut oleh Sekretaris Jenderal Kesatuan Perempuan Partai GOLKAR (PP-KPPG), Ibu Tati Noviati dan Ketua Bidang Luar Negeri DPP GOLKAR, Bapak Ali Mochtar Ngabalin, mewakili pimpinan tertinggi parti," kata kenyataan itu.
Sesi kunjungan turut disusuli dengan dialog bersama, yang disifatkan sebagai lebih daripada sekadar simbolik — ia merupakan langkah strategik ke arah membentuk jaringan partisipasi serta kerjasama jangka pendek dan panjang antara kedua-dua sayap wanita dalam memperkasa peranan di peringkat serantau dan antarabangsa.
Sementara itu, pertemuan bersama Dewan Da’wah Islamiyah Indonesia pula sebagai usaha memperluas jalinan pemikiran antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang dakwah.
Dalam pertemuan itu, Fadhlina menekankan keperluan menghubungkan generasi awal dengan kepimpinan baharu dalam usaha melahirkan tokoh pelapis yang mampu melaksanakan agenda pembangunan generasi muda secara berkesan.
"Kedua-dua organisasi berkongsi asas pemikiran perjuangan Bapak Muhammad Natsir, yang mendukung konsep politik dakwah dan dakwah politik bermula dari pembinaan peribadi individu
"Penghargaan kepada pihak Dewan Da’wah atas sokongan berterusan terhadap perjuangan KEADILAN, khususnya dalam mengangkat agenda dakwah dan pendidikan di rantau ini," ujar Fadhlina.
Pertemuan tersebut turut disertai oleh Ketua Umum Dewan Da’wah, Dr Adian Adian, MS dan Timbalannya, Muzayyana Yuliasih.









Comments