Wanita KEADILAN sokong pengukuhan Bahasa Melayu dalam RPM 2026–2035
- Suara Keadilan

- 1 hour ago
- 1 min read

Wanita KEADILAN Pusat menyatakan sokongan penuh terhadap pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pelaksanaan Rancangan Pendidikan Malaysia 2026–2035 (RPM 2026–2035), termasuk langkah memperkukuh Bahasa Melayu selari dengan pendekatan pelbagai bahasa dalam sistem pendidikan negara.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat, Datuk Ginie Lim berkata, pelan berkenaan diyakini mampu membina sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif dan progresif bagi melahirkan pelajar berpengetahuan, berjati diri serta berupaya berperanan sebagai warganegara global tanpa mengira latar belakang sosial, kaum atau agama.
"Wanita KEADILAN percaya bahawa pelan ini akan membina sistem pendidikan kebangsaan yang inklusif dan progresif bagi melahirkan pelajar yang berperanan sebagai warganegara global yang berilmu dan berjati diri, tanpa mengira latar belakang sosial, kaum atau agama," katanya dalam satu kenyataan.

Menurut beliau, pihaknya turut menyambut baik langkah mewajibkan subjek Bahasa Melayu dan Sejarah Malaysia dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kepada semua aliran sekolah, termasuk sekolah antarabangsa, sekolah agama rakyat, Maahad Tahfiz serta sekolah aliran Unified Examination Certificate (UEC).
"Langkah ini merupakan usaha gigih dan berterusan Kerajaan Madani terhadap perpaduan nasional, penguasaan bahasa kebangsaan dan semangat kenegaraan," ujarnya.
Dalam masa sama, Ginie Lim menegaskan sokongan Wanita KEADILAN terhadap penekanan Perdana Menteri agar penguasaan Bahasa Inggeris terus dipertingkat, di samping penawaran Bahasa Cina, Tamil dan Arab di sekolah kebangsaan.
"Pendekatan dwibahasa dan pelbagai bahasa ini penting untuk meningkatkan daya saing pelajar Malaysia serta membuka ruang keterbukaan di peringkat antarabangsa," katanya lagi.
Sehubungan itu, Wanita KEADILAN menyeru semua pihak termasuk ibu bapa, pendidik, pertubuhan masyarakat dan penggiat reformasi pendidikan agar bersama-sama mendukung pelaksanaan RPM 2026–2035 demi memastikan masa depan anak-anak Malaysia yang lebih gemilang, berilmu dan berdaya saing.









Comments