Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada Julai atau Ogos ini, Wanita KEADILAN Malaysia telah menyusun dan melancarkan jenteranya di negeri yang akan dipertahankan atau bakal ditawan.
Menurut Pengarah Komunikasi Wanita KEADILAN, Noraini Nordin, sayap wanita parti telah mengumpul kekuatan di enam negeri yang akan melaksanakan PRN sejak beberapa bulan lalu.
"Jentera Wanita KEADILAN yang telah dilatih ini akan di tempatkan di kawasan- kawasan sasaran mengikut kepakaran serta pengalaman masing-masing.
"Mereka yang menjadi jentera pilihan raya ini telah diberi latihan khas melalui siri-siri kursus yang telah diadakan di seluruh negara terutama di negeri-negeri yang akan berlangsung PRN," katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Noraini, kesungguhan dan semangat yang ditunjukkan oleh Wanita KEADILAN untuk menghadapi pilihanraya kali ini dizahirkan melalui pelancaran jentera Wanita KEADILAN Pulau Pinang dibuat di Dewan Orang Ramai Permatang Pasir pada 5 Jun lalu.
Manakala peringkat negeri, di Selangor dibuat di Tanjung Karang (gambar atas) pada 9 Jun dan di Sungai Petani, Kedah pada tarikh sama.
"Pelancaran jentera Wanita KEADILAN Negeri Sembilan pula akan diadakan pada 18 Jun 2023 ini. Kemudian diikuti oleh Wanita KEADILAN Kelantan dan Terengganu.
"Pelancaran jentera tersebut telah dilakukan oleh pemimpin-pemimpin di peringkat negeri dan pusat," katanya lagi.
Gerak kerja menghadapi pilihanraya, kata Pemangku Ketua Penerangan Wanita KEADILAN Pusat itu akan diteruskan dengan lebih aktif serta melibatkan lebih ramai lagi anggota-anggota parti daripada akar umbi sehingga ke pemimpin tertinggi pusat.
Comments