Wanita KEADILAN Sabah sumbang peralatan dapur di Dewan Gereja SIB, Melalap
- Suara Keadilan
- 5 minutes ago
- 1 min read

Oleh: Shaiful Annuar S
Suasana penuh mesra dan semangat kekeluargaan mewarnai Program Penyerahan Bantuan Peralatan Dapur yang diadakan di Dewan Gereja SIB, DUN Melalap, semalam.
Program yang disertai penduduk sekitar dalam suasana santai “minum petang sambil kopi-kopi” itu dianjurkan oleh Ketua Wanita KEADILAN Sabah, Datin Rufinah Pangiran, yang juga Ketua Cabang KEADILAN Pensiangan merangkap Cabang Angkat DUN Melalap sempena Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri Sabah ke 17 yang bakal berlangsung hujung bulan ini.

Menurut Datin Rufinah, program tersebut bertujuan membantu dan meringankan beban penduduk melalui sumbangan peralatan dapur kepada keluarga dari enam buah kampung sekitar Melalap, di samping menjadi wadah mengeratkan hubungan antara kepimpinan parti dan masyarakat setempat.
"Program ini bukan sahaja tentang menyampaikan bantuan, tetapi juga tentang menyemai kasih dan semangat kebersamaan antara pemimpin dan rakyat," katanya.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Datuk Sangkar Rasam, Ketua Cabang KEADILAN Keningau, Dato Jamawi Jaafar, serta Herbert Roger London, Ketua Cabang KEADILAN Tenom, bersama barisan jentera akar umbi yang hadir memberikan sokongan padu.
Datin Rufinah turut menyeru semua pihak untuk memperkukuh gerak kerja dalam memastikan kerjasama GRS–Pakatan Harapan terus mantap dan mampu mencapai kemenangan di DUN Melalap pada pilihan raya akan datang.
"Semua pihak perlu memperkukuh kerjasama demi memastikan kerjasama GRS-PH mencapai kemenangan di DUN Melalap pada pilihanraya akan datang," tegasnya.
Program yang berlangsung dalam suasana harmoni itu diakhiri dengan laungan semangat “Moonsoi!”, sebagai simbol tekad dan perpaduan menuju kejayaan bersama.





