Wanita KEADILAN Sabah atur gerak kerja, jentera hadapi PRN
- Suara Keadilan
- Jun 14
- 1 min read

Menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan pada bila bila masa sehingga hujung tahun ini, Wanita KEADILAN Sabah telahpun mempersiapkan jentera dan strategi.
Menurut Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Datin Rufinah Pengeran, kesiapsiagaan itu bagi memastikan parti dapat menawan hati rakyat sebaik sahaja Dewan Undangan Negeri dibubarkan.
"Wanita KEADILAN Sabah menegaskan komitmen penuh dalam menghadapi PRN Sabah yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
"Sebagai sayap utama dalam struktur parti, Wanita KEADILAN telah bersiap siaga dari segi jentera, strategi, serta gerak kerja akar umbi bagi memastikan KEADILAN terus mendapat tempat di hati rakyat Sabah.
"Kami telah mengadakan siri latihan, bengkel pemantapan organisasi serta libat urus bersama masyarakat setempat untuk memahami isu-isu tempatan yang menjadi keutamaan rakyat," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, kata beliau, Wanita KEADILAN Sabah juga telah mula meneliti calon calon yang sesuai untuk diketengahkan pada kerusi kerusi yang akan ditandingi.
"Wanita KEADILAN Sabah telah mengenal pasti calon-calon berwibawa yang bersedia membawa suara wanita dan rakyat ke Dewan Undangan Negeri.
"Fokus kami jelas iaitu memperjuangkan keadilan sosial, memperkasakan wanita, dan memastikan kebajikan rakyat terus dibela.
"Kami juga menyeru kepada seluruh jentera parti dan rakyat Sabah agar bersatu hati membawa perubahan yang lebih baik untuk negeri tercinta ini," katanya.
Justeru, Datin Rufinah yakin dan percaya bahawa dengan sokongan padu daripada semua lapisan masyarakat, Wanita KEADILAN mampu memainkan peranan penting mencorakkan landskap politik Sabah agar menjadi lebih progresif, adil dan inklusif.
Comments