
Wanita KEADILAN Malaysia dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) semalam memuji Ketua Wanita Negeri Selangor, Rodziah Ismail yang mencadangkan 30% wanita dilibatkan dalam proses membuat keputusan melantik Ahli Majlis.
Menurut Setiausaha Wanita KEADILAN, Nurin Aina Abdullah, cadangan kepada Majlis Pimpinan KEADILAN Negeri (MPN) Selangor itu sewajarnya dicontohi.
Katanya, Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh mahu Selangor turut mengambil pendekatan sama dalam hal lantikan ketua kampung dan sebagainya.
"Beliau berharap agar negeri Selangor mengambil pendekatan sama dalam hal perlantikan Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ketua Kampung dan ketua masyarakat.
"Beliau juga menyeru agar negeri lain boleh menjadikan Selangor sebagai teladan mendorong penglibatan kaum wanita dalam barisan pimpinan di semua peringkat," katanya dalam satu kenyataan.
Selain itu, menurut Nurin lagi, Ketua Wanita berpuas hati dengan penganjuran forum atas talian dalam kalangan pimpinan wanita pada waktu program secara fizikal sukar dilakukan berikutan pandemik Covid 19.
"Beberapa sesi forum online tertutup telah berjaya diadakan sepanjang bulan ini telah memanfaatkan barisan pimpinan wanita KEADILAN dalam menguasai isu – isu sosial terkini yang memberi kesan teruk kepada kesejahteraan rakyat akibat pandemik Covid-19.
"Usaha ini akan diteruskan mengupas isu-isu sosial terutamanya keganasan rumahtangga, gangguan seksual, hal ehwal kanak-kanak, OKU dan tidak ketinggalan isu penuaan," katanya lagi.
Mesyuarat semalam turut bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Pilihanraya Wanita Pusat (JPRWP) yang dibentuk bagi mempersiapsediakan Wanita KEADILAN menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN juga menzahirkan sokongan yang tidak berbelah bahagi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden KEADILAN merangkap Ketua Pembangkang Malaysia dalam situasi mencabar bagi mengimbangi impak Belanjawan 2021 terhadap kesejahteraan rakyat dalam mendepani pandemik. MPWP memberi sepenuh kepercayaan kepada beliau untuk mempertahankan dan mengembalikan mandat rakyat dalam PRU-14 lalu.
Comments