Wanita KEADILAN perkukuh strategi hadapi PRN Sabah
- Suara Keadilan
- 4 days ago
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Sayap Wanita KEADILAN sekali lagi membuktikan keutuhan peranannya sebagai tonggak kekuatan parti menerusi Mesyuarat Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) bersama Ketua-Ketua Wanita Negeri.
Mesyuarat Bil 4/2025 semalam telah dipengerusikan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek dalam semangat perpaduan dengan komitmen penuh kepimpinan yang hadir.
"Antara fokus utama perbincangan adalah strategi menghadapi Pilihan Raya Negeri Sabah, pengukuhan jentera pilihan raya, serta pelaksanaan program memperkasakan peranan wanita KEADILAN dalam mendekati rakyat.
"Mesyuarat juga menegaskan bahawa kejayaan parti hanya akan tercapai melalui penyelarasan gerak kerja yang sistematik dan perpaduan yang mantap di setiap peringkat organisasi," kata Wanita KEADILAN menerusi satu hantaran Facebook.
Menerusi hantaran tersebut, mereka turut menyatakan komitmen menjadi barisan pendukung parti yang konsisten, berprinsip dan berdaya saing dalam memperjuangkan agenda rakyat serta memastikan kemenangan bersama di medan demokrasi.
"Wanita KEADILAN bukan sekadar sayap parti, tetapi benteng perjuangan yang memastikan agenda rakyat terus dipertahankan. Kekuatan kita adalah kekuatan parti," tegas mereka.
Comments