top of page

Wanita KEADILAN pacu capai sasaran 30% calon pilihanraya

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jan 27
  • 2 min read

Wanita KEADILAN dalam retreat baru baru ini melancarkan SukmaWaja dan mahu kuota 30% calon pilihanraya
Wanita KEADILAN dalam retreat baru baru ini melancarkan SukmaWaja dan mahu kuota 30% calon pilihanraya

Oleh: Helmi Foad


Wanita KEADILAN bertekad memacu komitmen mencapai sasaran 30 peratus pencalonan wanita dalam Pilihan Raya Umum (PRU) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang sebagai sebahagian usaha memperkukuh peranan wanita dalam kepimpinan politik negara.


Setiausahanya, Sangetha Jayakumar berkata komitmen itu merupakan antara hasil utama Retreat Wanita KEADILAN 2026 yang menghimpunkan 70 pemimpin wanita dari seluruh negara.

Sangetha Jayakumar
Sangetha Jayakumar

"Retreat ini menjadi platform penting untuk menyelaras strategi nasional dan memperkukuh kesiapsiagaan politik Wanita KEADILAN menjelang PRU dan PRN," kata beliau dalam kenyataan hari ini.


Dalam retreat berkenaan, Wanita KEADILAN turut melancarkan Program #SUKMAWAJA sebagai inisiatif memperkukuh jentera akar umbi serta mendekati pengundi, khususnya golongan wanita dan keluarga.


"Program #SUKMAWAJA dirangka bagi membina sokongan akar umbi yang lebih tersusun serta memperkukuh hubungan Wanita KEADILAN dengan komuniti di peringkat lapangan," katanya.


Sangetha berkata mesyuarat pertama Majlis Pimpinan Wanita Pusat (MPWP) 2026 pada 25 Januari lalu turut memperkemas struktur organisasi dan penyelarasan gerak kerja nasional.


"Mesyuarat ini penting untuk memastikan kesepaduan kepimpinan dan hala tuju Wanita KEADILAN selari dengan agenda reformasi parti," menurut kenyataan itu lagi.


Dalam perkembangan berkaitan, Wanita KEADILAN mengumumkan pelantikan Ketua Wanita KEADILAN Sarawak Victoria Anak Musa sebagai Naib Ketua Wanita KEADILAN sekali gus melengkapkan keterwakilan Sabah dan Sarawak dalam kepimpinan nasional.


"Pelantikan ini mencerminkan komitmen Wanita KEADILAN terhadap prinsip keterangkuman dan pengiktirafan peranan kepimpinan wanita dari Sabah dan Sarawak di peringkat nasional," katanya.


Selain itu, Maisarah Ismail dilantik sebagai Ketua Biro Keanggotaan dan Mobilisasi manakala Ketua Srikandi Wanita KEADILAN, Nurhidayah Che Rose, serta Timbalan Ketua Srikandi, Ayna Soraya Badarudin dilantik sebagai Ahli Biro Politik secara ex-officio.


"Penyertaan Srikandi dalam Biro Politik adalah penting bagi memastikan suara wanita muda diarusperdanakan dalam proses membuat keputusan parti," katanya.


Wanita KEADILAN turut melaksanakan kempen #SHEConnect bagi menghubungkan wanita merentas latar belakang dan membina lebih ramai pemimpin wanita secara berstruktur dan berterusan.


Sebagai kesinambungan kepada pengukuhan institusi dan kesiapsiagaan pilihan raya, Wanita KEADILAN mengumumkan kongres nasional sayap parti itu akan diadakan di Melaka pada 26 hingga 27 Jun depan.


"Kongres Nasional Wanita KEADILAN 2026 akan menjadi medan utama untuk memuktamadkan hala tuju strategik, resolusi dasar serta penyelarasan gerak kerja nasional menjelang PRU dan PRN," katanya.


Sangetha menegaskan komitmen berterusan sayap parti untuk memimpin dengan nilai keterangkuman, kepelbagaian dan kesaksamaan gender dalam pembinaan negara.


"Wanita KEADILAN akan terus memastikan suara wanita di semua peringkat masyarakat menjadi teras dalam usaha membina Malaysia MADANI yang adil, progresif dan berdaya tahan," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page