Wanita KEADILAN nyata solidariti terhadap kepimpinan PM Anwar
- Suara Keadilan

- Jul 16
- 2 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN pada Selasa menyatakan solidariti secara besar-besaran kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi media sosial.
Ketuanya, Fadhlina Sidek menerusi satu hantaran di laman Facebook menegaskan, Malaysia berada di landasan tepat untuk mencapai status negara maju dengan taraf hidup rakyat akan meningkat.
"Kekuatan waktu ini adalah kestabilan politik dan keamanan dinikmati rakyat. Pengukuhan dan pembudayaan integriti menjadi asas pembangunan citra Malaysia MADANI.
"Di peringkat antarabangsa, kepimpinan Malaysia terserlah. Perdana Menteri memberi penekanan khusus kepada tadbir urus dan tatakelola yang baik.
"Negara berjaya melaksanakan tanggungjawab dengan penuh dedikasi dan cemerlang sebagai Pengerusi ASEAN," katanya sambil menegaskan pentadbiran Anwar berhasil menangani cabaran geopolitik dunia yang rumit.
Naib Wanita KEADILAN, Loh Ker Chean pula menegaskan kemampuan Anwar mengemudi negara di tengah ketidaktentuan geopolitik global sangat mengagumkan.
Biarkan Perdana Menteri bersikap tegas dan berani dalam menyatakan isu Palestin, penyelesaian aman konflik di Myanmar, serta pendirian tegas Malaysia terhadap isu Laut China Selatan namun tetap mengamalkan diplomasi yang seimbang demi kepentingan negara.
"Perdana Menteri membentuk semula wajah diplomasi negara dengan memperlihatkan bagaimana kita berhubung dengan dunia dan membawa suara Malaysia dengan bermaruah dan berkeyakinan," katanya menerusi hantaran di Facebook bagi menyatakan solidariti terhadap Anwar.
Ketua Wanita KEADILAN Putrajaya, Fasyarini Azahari dalam satu hantaran lain menyifatkan, Perdana Menteri berjaya mengembalikan semula penghormatan antarabangsa kepada Malaysia,
"Daripada forum antarabangsa di Davos hingga ke pentas PBB Perdana Menteri dianggap sebagai pemimpin yang lantang, berprinsip dan komited terhadap keadilan sejagat - dari isu Gaza hingga ekonomi global yang saksama," katanya.
Hal yang sama diungkapkan Setiausaha Wanita KEADILAN, Sangetha Jayakumar.
"Diplomasi Malaysia Madani telah mengangkat martabat negara di persada dunia. Suara diplomatik sederhana yang memperjuangkan keamanan dan kerjasama serantau dibawakan Perdana Menteri menjadi model pentadbiran progresif rantau ASEAN," katanya.
Manakala Ketua Biro Pendidikan Wanita KEADILAN Armila Alias menegaskan komitmen sayap parti itu teguh menyokong kepimpinan Anwar demi masa depan negara yang adil, bermaruah, dan berdaya saing.
"Wanita KEADILAN sentiasa mendokong kepimpinan Perdana Menteri demi Malaysia yang gemilang," kata Ketua Biro Komunikasi dalam hantaran solidaritinya.









Comments