Wanita KEADILAN melancarkan aplikasi dalam talian yang boleh menghubungkan rakyat ke pelbagai agensi kerajaan untuk mendapatkan bantuan segera dalam sebarang situasi.
Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, KEADILAN akan melatih wanita-wanita di peringkat Cabang dan Ranting untuk mewujudkan komuniti peka yang boleh menangani krisis kejiranan.
Katanya, sebarang masalah melibatkan agensi tertentu juga boleh diadukan dan menerima maklum balas segera menerusi apps berkenaan.
"Kami akan membangunkan satu apikasi rakan komuniti di mana apps ini boleh dimuat turun. Sistem ini dioperasikan melalui IOS dan Android.
"Apps ini nanti, komuniti peka (yang diwujudkan Wanita KEADILAN) boleh mengadu masalah dan mendapat maklum balas dihujung jari masing-masing.
"Apps ini akan link kepada agensi-agensi berkiatan. Jika aduan berkaitan keganasan kita linkkan dengan agensi berkaitan, jika berkaitan kewangan, kita link dengan pusat zakat dan sebagainya.
"Kita harap akan wujud satu komuniti yang lebih peka (selepas ini)," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat KEADILAN, pagi tadi.
Fuziah yang berucap secara atas talian bagi Sambutan Hari Wanita Sedunia KEADILAN berkata, perjuangan wanita di Malaysia sehingga ini telah mencapai beberapa kejayaan membanggakan dalam beberapa dekad terakhir dengan perlantikan Timbalan Perdana Menteri wanita, Gabenor Bank Negara wanita dan kejayaan di pelbagai bidang.
Namun, katanya, masih banyak lagi yang perlu dicapai dan diperjuangkan mengenai nasib wanita dan kekeluargaan.
"Hari ini kita telah mencapai perjuangan membanggakan. Kita sudah ada TPM wanita pertama yang kita kasihi ibu reformasi, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail. Kita juga mencapai Timbalan Speaker (Dewan Rakyat) wanita pertama. Kita ada seorang Gabenor Bank Negara wanita pertama dan seorang Ketua Hakim Negara wanita pertama.
"Manakala dalam KEADILAN kita bersyukur kerana selama 20 tahun parti ini dipimpin oleh seorang wanita, mantan Presiden Dr Wan Azizah yang menjadi ibu tatkala ayah kita berada di penjara. Beliau menjadi penyatu hati-hati kami di dalam kami meneruskan perjuangan.
"Pada hari ini kita berbangga kerana mempunyai Presiden Datuk Seri Anwar yang terus menegakkan agenda reformasi dan tidak takut atau gentar mencabar status quo yang memberikan semangat mencabar segala ketidakadilan dalam negara.
"Tema hari wanita tahun ini ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), iaitu 'memilih untuk mencabar'. Wanita mencabar dalam masyarakat di mana tema ketidak saksamaan dan ketidakadilan berlaku. Suara wanita amat penting untuk negara membangun dengan menseimbangkan dari pelbagai sudut, sama ada ekonomi, kesihatan, pendidikan dan sebagainya," kata Fuziah.
Menurut beliau lagi, slogan 'memilih untuk mencabar' yang ditetapkan oleh PBB untuk tema Hari Wanita Sedunia, 8 Mac tahun ini perlu digarap oleh wanita Malaysia bagi memperkuat iltizam dan kesungguhan memperbaiki struktur sosial di sekeliling mereka demi generasi akan datang.
Comments