
Wanita KEADILAN melancarkan 3 tekad baharu bagi memperteguh perjuangan mengangkat martabat wanita Malaysia.
Menurut Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean, 3 tekad itu dilancarkan dalam mesyuarat Wanita yang dipengerusikan oleh Senator Fadhlina Sidek dalam usaha rangka memperkesa parti menuju Pilihan Raya Umum ke 15.
"BANGKIT, LAWA, ASAK merupakan 3 komponen daripada Tekad Wanita yang dilancarkan dan langkah strategi untuk mendepani cabaran untuk memenangkan parti dalam Pilihanraya Umum yang akan datang," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam mesyuarat yang diadakan secara atas talian itu juga, kata Ker Chean, Wanita diingatkan bahawa parti telah pun melalui fasa perjuangan sejak 1998, bermula daripada parti pembangkang, parti yang mentadbir Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat dan menjadi parti yang mentadbir Kerajaan Persekutuan Pakatan Harapan pada tahun 2018.
KEADILAN telah dilengkapi dengan pengalaman pengalaman dalam kitaran kuasa politik dan kerajaan di sepanjang perjuangannya.
"Justeru Wanita KEADILAN sebagai organisasi sayap kepada KEADILAN wajib melangkah ke hadapan dengan mengetengahkan amalan dan tadbir urus yang baik dalam organisasi kerana parti sebagai Parti Kerajaan Menunggu (Government – in – Waiting) dan pada setiap masa bersedia mentadbir di Kerajaan Pusat," kata kenyataan itu lagi.
Sehubungan itu, kata Ker Chean, Barisan Majlis Pimpinan Wanita KEADILAN telah memberikan sokongan penuh untuk menubuhkan 3 jawatankuasa baharu bagi memantapkan sayap itu.
Tiga jawatankuasa tersebut ialah Jawatankuasa Tetap Bank Isu dan Kit Penerangan (BANGKIT); Jawatankuasa Bertindak Laskar Wanita Adil (LAWA) dan Jawatankuasa Tetap Asimilasi Struktur Asas Kepimpinan Wanita (ASAK)