Wanita KEADILAN Kuala Langat anjur program pemantapan organisasi
- Suara Keadilan

- Oct 7
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN Cabang Kuala Langat menganjurkan Program Pemantapan Organisasi bagi memperkukuh kefahaman, semangat berpasukan dan keupayaan kepimpinan dalam kalangan ahlinya.
Program selama dua hari satu malam berkenaan memberi penekanan terhadap peranan wanita dalam memperkukuh organisasi parti, selain memupuk kefahaman mendalam mengenai perjuangan politik dan tanggungjawab sebagai anggota parti.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Rozana Zainal Abidin menerusi satu perkongsian di Facebook berkata, hala tuju wanita dalam sesebuah organisasi politik amat penting dalam memastikan kekuatan jentera serta kejayaan parti pada pilihan raya.
"Komunikasi yang baik, semangat kerja berpasukan dan kekuatan dalaman wanita menjadi kunci kepada keberkesanan pergerakan parti. Walaupun ada yang masih baharu, kesungguhan mereka menimba ilmu menjadikan program ini dua hala dan amat bermakna," katanya yang juga Setiausaha Politik Menteri Pendidikan.
Turut hadir pada program itu ialah, Timbalan Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Juwairiyah Zulkifli dan Ketua Wanita KEADILAN Negeri Selangor, Salasiah Disa.
Mereka berkongsi pengalaman serta panduan dalam memperkukuh penglibatan wanita di peringkat akar umbi.
Rozana sementara itu merakamkan penghargaan kepada Ketua Wanita Cabang Kuala Langat, Puan Uma Nanthini, serta seluruh saf kepimpinan yang berjaya menganjurkan program penuh bermakna itu.
"Tahniah kepada Wanita KEADILAN Kuala Langat atas usaha memperkukuh semangat perjuangan dan kesepaduan dalam kalangan wanita parti," tambahnya.









Comments