Wanita KEADILAN komited tingkat partisipasi wanita dalam kepimpinan
- Suara Keadilan
- Jul 9
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN melaksanakan pelbagai program advokasi serta kerjasama strategik dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pemegang taruh lain bagi menjayakan agenda pemerkasaan wanita.
Ketuanya Fadhlina Sidek berkata, agenda utama yang kini diperjuangkan pihaknya adalah untuk memastikan sekurang-kurangnya 30 peratus partisipasi wanita dalam kepimpinan di semua peringkat.
"Saya tekankan keperluan mewujudkan ekosistem yang inklusif untuk menggalakkan penyertaan wanita dalam politik dan kepimpinan. Langkah ini penting bagi mengekang stereotaip serta amalan patriarki dalam masyarakat.
"Wanita KEADILAN proaktif menggerakkan agenda ini melalui pelbagai prakarsa penting seperti Sekolah Wanita (SWAN), Dana 30WReps, Program Run 2 Win, Akademi Srikandi (ASAK) dan Forum Industri Wanita, yang kesemuanya bertujuan membina kapasiti serta keyakinan wanita," katanya dalam satu hantaran di Facebook.
Beliau berkata begitu sebagai mengulas kunjungan pimpinan beberapa organisasi masyarakat sivil termasuk EMPOWER dan BERSIH ke pejabatnya pada Isnin.
Antara lain, pertemuan itu bagi membincangkan usaha memperkasakan penyertaan wanita sebagai calon pilihan raya dan pembuat keputusan.
"Terima kasih kepada semua pihak yang hadir dan menyokong. Agenda pemerkasaan wanita adalah tanggungjawab kita bersama," ujar Fadhlina.
Sementara itu Wanita KEADILAN dalam satu kenyataan lain di laman Facebook rasminya berkata, pihaknya akan terus memperjuangkan ruang politik adil, inklusif, dan progresif demi masa depan Malaysia yang lebih saksama.
Comments