Oleh: Abdullah Zaid
Wanita KEADILAN menyatakan solidariti dan mengecam sekeras-kerasnya ugutan bunuh terhadap Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Naib Ketua Wanita KEADILAN Sangetha Jayakumar berkata, perbezaan pendapat dalam politik tidak membenarkan jenayah ugutan itu berlaku, terutama dalam negara bertamadun seperti Malaysia.
"Serangan dan ugutan bunuh seperti ini bukan sahaja merupakan satu bentuk ancaman yang membahayakan nyawa seseorang, malah boleh mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara jika dibiarkan berterusan tanpa tindakan yang sewajarnya.
"Seluruh pimpinan Wanita KEADILAN berdiri teguh dan bersolidariti dengan YB Teresa Kok dalam menghadapi ugutan ini. Kami sama sekali tidak akan bertolak ansur dalam membiarkan ugutan seperti ini menular dalam budaya masyarakat Malaysia," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Kelmarin, polis mengesahkan menerima laporan daripada Teresa Kok berhubung ancaman surat berisi dua butir peluru dan satu kertas putih bersaiz A4 tertera perkataan ugutan bunuh yang diletakkan di peti surat kediaman pemimpin DAP itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata siasatan dijalankan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan, iaitu kesalahan menakutkan secara jenayah.
Justeru, Sangetha menyeru seluruh rakyat Malaysia menolak sebarang ugutan mahupun ancaman berbentuk keganasan dalam isu perbezaan ideologi politik.
"Kita seharusnya lebih matang, rasional, dan berhati-hati apabila berbicara mengenai sesuatu isu. Tindakan yang melampau dan ekstrem hanya akan mengganggu gugat keharmonian dalam masyarakat yang kita bina selama ini.
"Wanita KEADILAN berterima kasih kepada pihak polis yang bertindak pantas sejurus laporan dibuat.
"Kami yakin pihak polis akan melakukan siasatan terperinci dan membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan," ujarnya lagi.
Comments