Wanita KEADILAN kecam serangan ketenteraan ke atas Venezuela
- Suara Keadilan

- Jan 5
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Wanita KEADILAN mengecam sekeras-kerasnya serangan mengejut dan tindakan ketenteraan Amerika Syarikat (AS) terhadap Republik Bolivarian Venezuela, termasuk menyasarkan kedaulatan kepimpinan sah yang dipilih rakyat negara itu.
Ketua Penerangan Wanita KEADILAN, Datuk Ginie Lim menegaskan bahawa tindakan tersebut merupakan pelanggaran serius terhadap norma asas yang termaktub dalam Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya prinsip kedaulatan negara dan larangan campur tangan dalam urusan dalaman sesebuah negara.
Beliau menegaskan bahawa tindakan sedemikian bukan sahaja mencabuli undang-undang antarabangsa, malah berpotensi menggugat keamanan global serta menjejaskan kestabilan serantau.
"Wanita KEADILAN berdiri teguh bersama rakyat Venezuela, khususnya golongan wanita dan kanak-kanak, yang terus menanggung penderitaan akibat campur tangan luar dan ketidakstabilan politik," menurutnya dalam satu kenyataan.

AS melancarkan serangan ke atas Venezuela pada Sabtu dan menangkap Presiden Venezuela, Nicolas Maduro dan isteri Cilia Flores, sebelum dipindak paksa dari negara itu.
Sekurang-kurangnya 40 orang, termasuk warga awam dan anggota tentera maut dalam operasi ketenteraan berskala besar itu.
Sementara itu, Ginie dalam kenyataannya enyeru masyarakat antarabangsa agar menolak sebarang bentuk paksaan ketenteraan dan keganasan, sebaliknya menyokong hak rakyat Venezuela untuk menentukan masa depan mereka sendiri melalui kaedah demokratik dan aman.
"Wanita KEADILAN mengulangi pendirian Malaysia yang berpegang teguh kepada prinsip tidak campur tangan dalam urusan dalaman negara lain, serta menyokong penyelesaian konflik secara aman melalui dialog, diplomasi dan saling menghormati.
"Pendekatan ini selari dengan pendirian yang sering ditegaskan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dalam dasar luar Malaysia," tambahnya.




Comments