top of page

Wanita KEADILAN kecam sekatan makanan Israel ke atas penduduk Gaza

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Jul 24
  • 2 min read

ree

Oleh: Akmal Manaf


Wanita KEADILAN Pusat berikrar untuk terus menentang kebisuan antarabangsa berhubung penindasan berterusan terhadap rakyat Palestin oleh rejim Zionis Israel.


Ketua Biro Kemanusiaan, Nor Azmiza Mamat berkata, komitmen itu adalah selari dengan penegasan Perdana Menteri (PM) Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua negara bagi mengembalikan prinsip kemanusiaan sejagat yang telah dicabuli.


Beliau berkata, pihakya berdiri teguh bersama wanita-wanita Gaza yang kini dilihat terus mempertahankan keluarga dalam kepungan, kekurangan dan penindasan yang zalim.


''Kami mengecam sekeras-kerasnya sekatan makanan yang dikenakan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin di Gaza.


''Ia merupakan satu bentuk kekejaman tidak berperikemanusiaan yang menjadikan kebuluran sebagai senjata perang.


''Kebuluran paksa bukan sekadar penderitaan, tapi ia adalah pembunuhan senyap dan genosid,'' katanya dalam satu kenyataan yang mengecam tindakan tidak berperikemanusiaan itu.


Oleh itu, kata Nor Azmiza, pihaknya menuntut tindakan segera dan menegaskan bahawa mereka tidak akan berdiam diri terhadap kezaliman yang berlaku di depan mata dunia.


''Pertama kami menuntut agar perjanjian gencatan senjata Hamas-Israel di Doha disegerakan demi menghentikan pertumpahan darah dan penderitaan rakyat Gaza.


''Kedua, siasatan antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) perlu dijalankan terhadap penggunaan kebuluran sebagai senjata perang, yang merupakan satu jenayah terhadap kemanusiaan," katanya.


Selain itu, Wanita KEADILAN juga menuntut agar tekanan diplomatik lebih agresif terhadap negara-negara yang bersekongkol atau berdiam diri terhadap kekejaman Israel.


Katanya, gerakan solidariti global, khususnya pertubuhan wanita dan kemanusiaan turut perlu digembleng bagi menyelamatkan generasi rakyat Palestin yang dibunuh secara perlahan.


''Akhir sekali, perkara yang dituntut adalah peningkatan bantuan kemanusiaan Malaysia, khususnya untuk wanita dan kanak-kanak yang paling terkesan dan golongan rentan,'' kata beliau lagi.


Sebelum ini dalam satu laporan Harian Metro, Pengerusi Muslim Care Malaysia (MCM) - Palestin, Ahmed Abu Ayesh dipetik berkata, situasi di Gaza menuju ke arah amat kritikal.


Menurutnya, halangan bantuan kemanusiaan ke Gaza oleh Israel sejak Mac lalu, menyebabkan penduduk Palestin berdepan krisis kemanusiaan dahsyat.


"Gaza berada di ambang kebuluran besar. Tiada makanan dan tiada bekalan air bersih. Yang tinggal hanyalah manusia kurus yang menanti saat untuk tumbang berikutan tubuh mereka tidak lagi mampu bertahan.


"Lebih 700,000 penduduk Palestin mengalami tahap kelaparan kritikal, sementara 90 peratus daripada populasi Gaza tidak mempunyai akses tetap kepada makanan harian," katanya dipetik.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page