
Wanita KEADILAN giat melakukan persiapan menjelang Kongres Nasional KEADILAN yang akan diadakan secara maya pada 5 dan 6 Jun ini.
Ketua Wanita KEADILAN, Fuziah Salleh berkata, ia merupakan satu cabaran bagi perwakilan yang tidak mempunyai akses internet yang kuat untuk menyertai kongres itu nanti.
"Kongres kali ini 100 peratus secara maya dengan setiap perwakilan berada dalam rumah masing-masing.
"Dengan capaian internet yang begitu bermasalah, cabaran ialah untuk memastikan cukup korum nanti, kerana kesemua perwakilan tidak boleh keluar untuk mencari capaian internet.
"Hanya boleh panjat bumbung atau panjat pokok yang dalam kawasan rumah masing-masing sahaja," katanya.
Malah, katanya, lebih 1000 perwakilan akan mengakses secara serentak dan ia menjadikan kongres kali ini cukup mencabar.
"Apapun kami sedang membuat persiapan rapi untuk berhadapan dengan segala kemungkinan. Kami yakin KEADILAN boleh," katanya.