top of page

Wanita KEADILAN bersolidariti bersama rakyat Sabah

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • Sep 16
  • 1 min read
ree

Wanita KEADILAN Malaysia menzahirkan ucapan takziah kepada seluruh mangsa banjir di Sabah yang kini berdepan ujian berat akibat bencana itu.


Dalam satu kenyataan, Wanita KEADILAN mendoakan agar semua yang terkesan dengan dugaan itu terus diberikan kekuatan, keselamatan, dan ketabahan dalam menghadapi dugaan tersebut.


"Wanita KEADILAN komited untuk terus berdiri teguh bersama rakyat Sabah dalam menghadapi musibah ini," katanya.


Hujan lebat melanda Sabah menyebabkan banjir di sekitar Penampang dan Beaufort, dengan lebih 400 orang dilapor telah dipindahkan ke pusat perlindungan.


Selain menyebabkan banjir, hujan berterusan turut menjejaskan beberapa daerah lain serta mengakibatkan dua kejadian tanah runtuh yang setakat ini mengorbankan sembilan nyawa.


Pada Sabtu, kerajaan Sabah mengumumkan pembatalan sambutan Hari Malaysia peringkat negeri yang dirancang hari ini bagi memberi keutamaan utama menguruskan krisis, menyelaras usaha pemulihan, dan memastikan operasi menyelamat dapat dijalankan dengan pantas.


Di peringkat Persekutuan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM10 juta melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),


Beliau turut mengarahkan seluruh jentera Kerajaan MADANI digerakkan segera untuk memastikan keselamatan, kebajikan dan kelangsungan hidup mangsa banjir dibela sebaiknya.


Wanita KEADILAN Sabah menerusi satu kenyataan media sebelum ini menggesa keutamaan diberikan kepada golongan rentan seperti warga emas, orang kelainan upaya (OKU), wanita mengandung serta keluarga yang mempunyai anak kecil.


Ketuanya Datin Rufinah Pengeran turut menyeru bantuan makanan dan bekalan air bersih disalur segera terutamanya ke kawasan pedalaman yang terputus hubungan.


"Kesiapsiagaan pasukan penyelamat serta kelengkapan logistik juga perlu terus ditingkatkan memandangkan hujan masih berterusan dan risiko banjir susulan masih tinggi," katanya.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page