Wanita KEADILAN Bakri perkasa komuniti melalui Sentuhan Kasih
- Suara Keadilan

- Jul 7
- 1 min read

Oleh: Azuan Ab Rahman
Exco Wanita KEADILAN Pusat, Noraziah Mohd Razit (Rozy Razit) menyambut baik inisiatif KEADILAN Cabang Bakri menganjurkan Program Sentuhan Kasih Wanita pada Sabtu lalu.
Menurut beliau, program yang mampu menjadi model untuk diperluas ke cabang-cabang lain dalam usaha memperkukuh jaringan komuniti yang lebih inklusif, mesra wanita dan progresif itu bukan hanya sekadar pertemuan fizikal tetapi memberi harapan kepada wanita yang memerlukan sokongan.
"Dalam dunia yang serba mencabar ini, wanita memikul pelbagai peranan sebagai ibu, isteri, anak, pemimpin dan pejuang kehidupan.
"Program seperti ini menyerlahkan rasa kasih sayang, solidariti dan keprihatinan terhadap komuniti khususnya golongan wanita.Ia menjadi ruang penting untuk kita mengangkat suara, mendengar denyut nadi mereka dan memberi sokongan berterusan.
"Saya percaya, setiap langkah kecil seperti ini adalah permulaan kepada perubahan besar," katanya dalam satu kenyataan.
Pada acara itu, Noraziah yang Ketua Wanita KEADILAN Cabang Pasir Gudang turut berpeluang berkongsi dan menerangkan beberapa inisiatif yang disediakan kerajaan MADANI untuk wanita
Ia antaranya Caruman PERKESO Surirumah, peluang pembiayaan TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia untuk usahawan wanita, selain bantuan JKM bagi ibu tunggal serta E-Kasih kepada penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
"Wanita bukan untuk dipinggirkan, tetapi untuk diperkasa. Marilah kita terus bersama dalam perjuangan ini. Insya-Allah ia akan diberkati dan diperkukuh
"Tahniah kepada Ketua Wanita Cabang Bakri, Saudari Fion Lim dan Ketua Cabang Bakri Md Ysahrudin Kusni atas penganjuran ini. Teruskan usaha yang mulia," ujarnya.









Comments