top of page

Wanita HARAPAN 'bertelepuk' iring calon ke Dewan Seri Rembau

  • Writer: Sidiqin Omar
    Sidiqin Omar
  • 42 minutes ago
  • 2 min read
Wanita HARAPAN mengenakan telepuk mengiringi calon PH ke Dewan Seri Rembau
Wanita HARAPAN mengenakan telepuk mengiringi calon PH ke Dewan Seri Rembau

Kelainan ditampilkan wanita Pakatan Harapan (PH) apabila mengenakan telepuk, iaitu penutup kepala tradisional masyarakat wanita Negeri Sembilan, ketika mengiringi calon-calon ke Dewan Seri Rembau sempena proses penamaan calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, pagi tadi.


Pemakaian telepuk oleh barisan wanita HARAPAN itu mencuri perhatian orang ramai dan penyokong yang hadir, sekali gus menyerlahkan identiti budaya Negeri Sembilan dalam suasana penuh semangat sempena hari penamaan calon.


Menurut Ketua Wanita AMANAH Rembau, Puan Minah Ahmad, telepuk merupakan pakaian tradisional yang pernah digunakan oleh golongan ibu ketika bekerja di sawah dan bendang sebagai pelindung daripada panas matahari.


"Telepuk ini ialah pakaian ibu-ibu yang turun ke bendang. Hari ini kami mahu menghidupkan semula adat lama kerana kita semakin lupa kepada budaya sendiri.


"Negeri Sembilan perlu mengangkat kembali warisan ini dan sebab itu kami memakai telepuk bagi memberi semangat kepada wanita yang hadir hari ini," katanya kepada Suara Keadilan.

Puan Minah Ahmad
Puan Minah Ahmad

Jelas beliau, pemakaian telepuk bukan sekadar menceriakan suasana penamaan calon malah bertujuan menghidupkan semula warisan budaya Negeri Sembilan yang semakin dilupakan generasi masa kini.


Telepuk, katanya lazim dihasilkan menggunakan kain batik atau kain pelikat yang diikat membentuk penutup kepala namun penggunaannya semakin berkurangan apabila digantikan dengan aksesori moden.


Justeru kata Minah, usaha memperkenalkan semula telepuk mampu menyokong industri batik tempatan kerana penggunaan kain batik sebagai bahan utama dapat meningkatkan permintaan terhadap hasil kraftangan negara.


"Dulu telepuk dibuat daripada kain batik atau kain pelikat. Sekarang orang sudah jarang menggunakannya dan kain batik semakin dilupakan.


"Kali ini kita mahu mengangkat semula industri batik di Malaysia. Ini bukan sahaja memelihara adat dan seni budaya, malah menjadi satu inisiatif untuk membantu memajukan ekonomi negara," katanya lagi.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page