Wanita bukan pelengkap tetapi peneraju perubahan – Aiman Athirah
- Suara Keadilan
- 24 minutes ago
- 2 min read

Ketua Wanita Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Aiman Athirah Sabu menegaskan bahawa wanita bukan sekadar pelengkap kepada kepimpinan negara, sebaliknya menjadi peneraju utama dalam membina Malaysia Madani yang progresif, inklusif dan berdaya saing.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Pidato Ketua Wanita sempena Konvensyen Nasional Angkatan Wanita Amanah Negara (AWAN) 2025, yang berlangsung di IDCC Shah Alam pada Jumaat.
Majlis berkenaan dirasmikan oleh Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar, dengan kehadiran lebih 1,000 perwakilan AWAN dari seluruh negara.
"Konvensyen tahun ini membawa tema “Wanita Negara, Peneraju Perubahan: Memimpin Dengan Hikmah, Membina Masa Depan,” yang memperjuangkan kepimipinan wanita di persada negara serta menekankan pentingnya kebijaksanaan, nilai hikmah dan kekuatan moral dalam memimpin perubahan, seiring dengan matlamat membina masa depan Malaysia yang inklusif, progresif dan sejahtera.
"YB Datuk turut menekankan bahawa selain peluang untuk memimpin, yang diperlukan sekarang adalah ekosistem yang menyokong penyertaan wanita secara mampan termasuk rang undang-undang (RUU) yang mewajibkan parti politik menamakan sekurang-kurangnya 30 peratus calon wanita, sebagai usaha nyata ke arah sasaran 50 peratus penyertaan wanita menjelang PRU16," katanya dalam muat naik di media sosial.
Sehubungan itu, Aiman Athirah menyeru agar seluruh jentera AWAN untuk memperkukuh gerakan wanita di setiap lapisan masyarakat dengan meningkatkan kapasiti kepimpinan, memperluas jaringan akar umbi serta tampil sebagai suara perubahan yang berani dan berprinsip.
"AWAN perlu terus memperkukuh gerakan wanita AMANAH di setiap lapisan masyarakat, mempertingkat kapasiti kepimpinan, memperluas jaringan di akar umbi, serta menjadi suara perubahan yang berani dan berprinsip," katanya.
Konvensyen berkenaan, kata beliau, menjadi platform memperkukuh solidariti wanita AMANAH serta memperbaharui komitmen terhadap agenda kepimpinan wanita berteraskan nilai Madani, selaras dengan hasrat membina masa depan Malaysia yang sejahtera, inklusif dan berpaksikan keadilan sosial.





