top of page

PSSGM Pahang anjur majlis iftar eratkan ukhuwah anggota silat

  • Writer: Redzuan Shamsudin
    Redzuan Shamsudin
  • 2 hours ago
  • 2 min read
Anggota Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia (PSSGM) Kebangsaan Negeri Pahang sertai majlis iftar
Anggota Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia (PSSGM) Kebangsaan Negeri Pahang sertai majlis iftar

Pertubuhan Seni Silat Gayung Malaysia (PSSGM) Kebangsaan Negeri Pahang menganjurkan majlis berbuka puasa bersama anggotanya di Teja Station di kawasan Bandar Putra, Kuantan baru-baru ini.


Program yang diadakan sempena Program Semarak Ramadan 2026 itu dianjurkan dengan kerjasama KEADILAN Kuantan serta Ahli Majlis Majlis Bandaraya Kuantan dan dihadiri kira-kira 200 anggota silat dari seluruh Pahang, khususnya dari daerah Kuantan, Pahang.


Timbalan Pengerusi PSSGM Kebangsaan Negeri Pahang, Ahmad Tajuddin Othman berkata program tersebut bertujuan mengeratkan hubungan dalam kalangan anggota silat di daerah itu di samping menyalurkan sumbangan kepada mereka yang memerlukan.


"Program ini diadakan untuk mengeratkan hubungan sesama anggota silat di daerah Kuantan di samping menyampaikan sumbangan kepada mereka yang memerlukan," katanya dalam satu kenyataan.

Fakhrul Anuar memberi ucapan ringkas
Fakhrul Anuar memberi ucapan ringkas

Menurut beliau, majlis itu turut dihadiri gurulatih silat dari beberapa daerah lain termasuk Pekan, Pahang, Bentong, Pahang, Maran, Pahang, Temerloh, Pahang dan Jerantut, Pahang.


Tambahnya, kerjasama yang terjalin antara PSSGM Pahang, KEADILAN Kuantan serta Ahli Majlis Bandaraya Kuantan sejak tahun 2025 diharap dapat diperkukuhkan lagi melalui pelbagai program persilatan termasuk pembukaan gelanggang silat baharu untuk wanita selepas Ramadan.


Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Majlis Bandaraya Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi atas kerjasama dan sokongan dalam usaha mempopularkan seni silat gayung dalam kalangan masyarakat.


Sementara itu, Ketua Gurulatih PSSGM Kebangsaan Daerah Kuantan, Muhammad Hafiz Hamdan berkata pihaknya merancang untuk merancakkan lagi penyertaan belia berusia 15 hingga 30 tahun dalam aktiviti silat di daerah tersebut.


Beliau turut menyambut baik sokongan kerajaan terhadap pertubuhan silat yang menurutnya selari dengan inisiatif Program Pendekar MADANI yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pulau Pinang tahun lalu bagi melahirkan generasi muda yang berakar umbi dengan budaya bangsa.


Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Cabang KEADILAN Kuantan, Fakhrul Anuar Zulkawi, Ketua Wanita KEADILAN Pahang, Sridayu Samsuri serta Naib Ketua KEADILAN Cabang Kuantan, Jeff Lee Chee Mun.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page