Oleh: Noraini Nordin
Setiausaha Wanita KEADILAN Pusat, Loh Ker Chean mahu sayap Wanita dan Angkatan Muda Keadilan (AMK) terus memainkan peranan mengangkat dan menterjemahkan semangat perpaduan dalam masyarakat.
Kata beliau, perkara paling mengujakan sepanjang perjuangan bersama KEADILAN ialah kejayaan meletakkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menerajui negara ini.
Namun, katanya, di sebalik kejayaan itu ianya secara tidak langsung melahirkan cabaran baharu kepada pimpinan parti di peringkat akar umbi, terutamanya pada peringkat cabang.
"Kita perlu menyedari bahawa komposisi dan ekosistem parti kita yang majmuk dan meraikan kepelbagaian dalam bingkai kesatuan merupakan contoh kepada sekutu kita dan rakyat di seluruh negara dalam merealisasikan visi perpaduan.
"Kita boleh berkongsi pengalaman kita tentang praktis dan amalan dalam pengurusan konflik dengan komunikasi yang baik dan membantu menangani ketegangan suasana perbincangan apabila timbul isu sensitif yang melibatkan unsur agama, raja dan kaum," katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Wanita dan AMK Cabang Lembah Pantai, baru-baru ini.
Dalam hal ini, tegas Loh Ker Chean, peranan sayap Wanita dan AMK Cabang adalah penting sebagai agen dalam mempromosikan praktis dan idea perpaduan itu.
"Justeru, saya menyeru anggota kedua-dua sayap ini pada peringkat cabang dan peringkat nasional agar terus mengangkat dan menterjemahkan semangat perpaduan dalam kepelbagaian dalam bergerak sebagai sebuah organisasi yang berbakti kepada masyarakat," ujarnya lagi.
Comments