Wang SARA RM100 tingkat belanja M40, lonjak ekonomi domestik
- Suara Keadilan

- Aug 1
- 2 min read

Oleh: Hasbul Ahmad
Sumbangan Asas Rahmah (SARA) RM100 yang diumumkan kerajaan baru baru ini bukan sahaja meringankan beban golongan B40, malah turut memberi impak ketara kepada kumpulan M40 yang selama ini sering merasakan diri tercicir daripada program bantuan.
Menurut Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran (gambar), golongan berpendapatan sederhana khususnya M40 kini turut merasai manfaat langsung bantuan tersebut, sekaligus membuka ruang kepada peningkatan perbelanjaan isi rumah dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi domestik.
"Kita selalu dengar rungutan M40 tak dapat apa-apa. Tapi dengan RM100 ini, kalau satu keluarga ada 10 orang yang layak, itu sudah RM1,000, cukup untuk pelbagai keperluan asas.
"Ada keluarga gunakan untuk baiki rumah, beli barang elektrik, atau simpan untuk perbelanjaan persekolahan anak," katanya kepada Suara Keadilan.
Tambah beliau, selain memberi kelegaan kepada keluarga sederhana, bantuan tunai itu juga memberi kesan langsung kepada perniagaan kecil yang mensasarkan pelanggan dari kalangan M40, seperti peniaga makanan, kedai runcit dan penjaja.
Lebih menarik, beliau menjelaskan bahawa dalam konteks ekonomi bantuan berkenaan bukanlah sekadar “pemberian” tetapi satu rangsangan ekonomi bersifat kitaran yang akan memberi pulangan kepada negara.
"Seorang peniaga nasi ayam yang saya temui di Segamat misalnya berkata RM100 boleh bantu dia beli ubat.
"Perniagaan kecil dia hanya jana RM100 hingga RM150 sehari. Jadi, bantuan tunai ini memang memberi kesan besar dari sudut kelangsungan hidup harian.
"Apabila rakyat belanja, wang itu berpusing dalam ekonomi domestik. Ia merangsang pertumbuhan, meningkatkan KDNK dan memberi kesan positif kepada sektor lain seperti peruncitan dan perkhidmatan," ujarnya.
Tambah Yuneswaran, bantuan berkenaan jangan dilihat secara individu kerana ianya memberikan impak lebih besar jika dilihat dalam konteks keseluruhan isi rumah.
"Jangan lihat RM100 seorang. Lihat pada pendapatan isi rumah. Wang boleh digunakan untuk bercuti, mulakan perniagaan kecil seperti jual nasi lemak atau burger. Ia jadi modal tambahan dan sokongan kepada peniaga kecil-kecilan," jelas beliau.
Beliau turut menyangkal kritikan yang mengatakan bantuan yang diberi terlalu kecil atau tidak berkesan, dengan menyatakan penerimaan rakyat biasa terhadap inisiatif berkenaan sangat positif.
"Hanya orang politik yang memperkecilkan usaha ini. Tapi kalau tanya rakyat, mereka bersyukur. Terima kasih kepada kerajaan. RM100 ini bukan isu kecil, ia adalah pemangkin ekonomi akar umbi," katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai mengumumkan inisiatif tersebut di bawah rangka Kerajaan MADANI dalam Pengumuman Penghargaan Untuk Rakyat Malaysia berupa bantuan one‑off di bawah program SARA RM100 untuk semua rakyat dewasa Malaysia berumur 18 tahun ke atas.
Ini merupakan kali pertama bantuan tunai disalurkan kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun secara menyeluruh melalui MyKad bermula 31 Ogos ini bertujuan meringankan kos sara hidup rakyat dan menyemarakkan semangat kebersamaan pada detik bersejarah negara
Progran tersebut memanfaatkan 22 juta rakyat Malaysia melibatkan peruntukan RM2 bilion, sebagai tambahan peruntukan STR dan SARA yang kini meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk 2025.









Comments