top of page

'Pembangkang perlu jadi pengimbang, jangan bantah semua dasar kerajaan'

  • Writer: Suara Keadilan
    Suara Keadilan
  • 1 hour ago
  • 2 min read

Oleh: Akmal Manaf


Pendekatan pembangkang yang membantah dasar kerajaan tanpa pertimbangan menyeluruh terhadap manfaat kepada rakyat, dikritik sebagai berisiko menjejaskan peranan semak dan imbang dalam sistem demokrasi negara.


Mantan Ahli Dewan Negeri (ADN) Meru, Ustaz Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar (gambar) berkata, pembangkang sebenarnya mempunyai peranan yang besar untuk negara, oleh itu seharusnya mereka memahami tugas sebenar dalam melakukan ‘semak dan imbang’.


Beliau menjelaskan, tugas semak dan imbang bertujuan untuk mengawasi tindak tanduk kerajaan dan juga pengimbang untuk mengelakkan pemerintah menyalahgunakan kuasa atau membuat keputusan yang salah.


"Pas-PN sebagai pembangkang kena melihat perkara berkaitan meneliti dasar-dasar kerajaan itu sendiri. Mana yang perlu diperbaiki, diubah, digugurkan, ditambah, itu sepatutnya peranan pembangkang yang patut dibuat.


"Dalam masa sama, (pembangkang) juga memeriksa perbelanjaan supaya tidak berlaku ketirisan, penyelewengan dan salah guna kuasa," katanya siaran podcast Borak Setepek! ‘UMNO Keluar Kerajaan Perpaduan?’ oleh Lensa MADANI.


Menurut Ustaz Mohd Fakhrulrazi, malangnya pembangkang PN ketika ini cenderung untuk membantah hampir semua tindakan pihak lawan politik tanpa mengira sama ada sesuatu keputusan itu wajar atau sebaliknya.


"Sebab apa? Kalau benda betul (dilakukan kerajaan) itu dibuat, (ia akan) menjadi satu kejayaan yang akan mengurangkan sokongan kepada pihak kita (pembangkang) kerana kita (mereka) sudah terperangkap dalam sistem itu sendiri.


"Sebab bila orang politik yang semata-mata nak mengejar kuasa dan sebagainya, kita (mereka) tak peduli kesan baik atau buruk.


"Dia tak nak fikir sangat (kesan buruk) yang penting dapat kemenangan, sokongan, mandat dan kuasa.. itu yang difikirkan," katanya lagi.


Jelas Ustaz Mohd Fakhrulrazi lagi, hal itu menimbulkan persepsi tidak baik, yang boleh mempengaruhi rakyat dan merupakan senjata ampuh untuk menumbangkan mana-mana kerajaan.


Katanya, keadaan itu berpunca daripada amalan politik yang tidak berhemah dan sihat, lebih-lebih lagi apabila ia disaluti imej agama yang memudahkan orang ramai mempercayai dan mengikutinya, sehingga akhirnya bukan sahaja merosakkan negara dan bangsa, malah mencemarkan kesucian Islam itu sendiri.


"Kenapa perkara itu berlaku? Antara sebabnya kita tidak memahami konsep dan tanggungjawab kita sebagai warganegara, selain (peranan sebenar) sebagai pemerintah dan juga pembangkang," ujarnya lagi.


Untuk rekod, Ustaz Fakhrulrazi memulakan kerjaya politik sebagai pemimpin Pemuda Pas, kemudian menyertai AMANAH dan kini berada dalam KEADILAN.


Pengalaman luasnya dalam pembangkang dan pernah menjadi Ahli Dewan Negeri Selangor memberi ruang kepada beliau untuk menilai pembangkang PN pada waktu ini tidak berwibawa sebagaimana Pakatan Harapan suatu ketika dahulu ketika menjadi pembangkang.

Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2020 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page