Banjir: Anwar, PM Nepal bincang nasib 55 rakyat Malaysia masih belum ditemui


Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim membangkitkan nasib 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui dalam perbualan telefon bersama Perdana Menteri Nepal, Balendra Shah, sebelum berlepas ke China hari ini.
Menurut Anwar, beliau bagi pihak rakyat Malaysia menyampaikan simpati dan dukacita kepada kerajaan serta rakyat Nepal susulan bencana besar yang melanda negara itu bulan lalu.
"Saya merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Nepal, pihak berkuasa serta pasukan penyelamat yang telah bekerja keras dalam operasi mencari mangsa, termasuk 55 rakyat Malaysia yang masih belum ditemui.
"PM Shah menjelaskan bahawa keadaan di lapangan masih amat rumit, dengan skala bencana dan kemusnahan yang disifatkan seumpama tsunami.
"Dalam perbualan ini, saya menyampaikan keresahan dan harapan keluarga 55 rakyat Malaysia yang masih menantikan kepastian mengenai nasib insan tersayang," katanya dalam hantaran di media sosial.
Anwar turut membangkitkan keperluan mewujudkan satu mekanisme rasmi sekiranya mangsa tidak dapat ditemukan dan operasi pencarian tidak memberikan kepastian mengenai status mereka.
Katanya, mekanisme berkenaan penting bagi membantu keluarga terkesan menguruskan urusan berkaitan undang-undang, kewangan dan pentadbiran.
"Saya akan mengutus surat rasmi kepada PM Shah bagi memperincikan cadangan ini," katanya.
Pada masa sama, Shah memberi jaminan bahawa usaha pencarian akan diteruskan sedaya upaya walaupun keadaan di kawasan terjejas semakin mencabar.
Usaha mendapatkan kepastian mengenai status 55 rakyat Malaysia berkenaan sebelum ini turut diteruskan melalui kerjasama pihak berkuasa Malaysia dan Nepal.
Pasukan SMART yang menjalankan operasi di Nepal telah melaksanakan pencarian darat serta tinjauan udara menggunakan dron di kawasan yang boleh diakses dengan selamat.
Wisma Putra pada 14 September memaklumkan bahawa kepulangan pasukan SMART tidak bermakna usaha mengesan rakyat Malaysia berkenaan dihentikan, manakala pihak berkuasa Nepal terus menjalankan usaha pencarian, pengesahan dan pengenalpastian.
Anwar berharap segala ikhtiar yang sedang digerakkan akan membuahkan hasil serta memberikan kepastian yang amat dinantikan oleh keluarga kesemua 55 rakyat Malaysia tersebut.




Comments