Dasar gaji progresif dinilai hujung tahun, tumpu sektor bernilai tinggi


Kerajaan akan menilai keberkesanan pelaksanaan Dasar Gaji Progresif menjelang hujung tahun ini bagi mengenal pasti sektor, industri dan kemahiran yang mampu mempercepatkan peningkatan gaji pekerja.
Menteri Ekonomi Datuk Seri Akmal Nasrullah Mohd Nasir (gambar) berkata, penilaian itu penting bagi memastikan usaha meningkatkan pendapatan rakyat tidak hanya tertumpu kepada kadar gaji minimum sebaliknya turut memberi perhatian kepada perkembangan gaji pekerja di lapisan pertengahan.
Isu pemampatan gaji semakin ketara apabila jurang pendapatan antara pekerja berkemahiran rendah dan separa berkemahiran semakin mengecil, katanya.
"...dalam kita membesarkan ke ekonomi bagaimana perlindungan asas itu tetap kita bagi pada masa yang sama kita kena sisihkan mana yang mampat sebenarnya makin ketara, kalau kita tengok laporan daripada Bank Negara Malaysia menyebut bahawa jurang antara pekerja berkemahiran rendah dan juga separa berkemahiran semakin mengecil," katanya dipetik ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di Putrajaya hari ini.
Akmal berkata berdasarkan laporan Bank Negara Malaysia, perbezaan gaji antara pekerja asas dan pekerja berkemahiran rendah yang berjumlah RM550 pada 2016 mengecil kepada RM396 pada 2024.
"Pergerakan gaji itu berlaku di peringkat gaji minimum tapi tangga gaji untuk gaji-gaji yang seterusnya tidak berlaku dengan sebaik mungkin," katanya.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan peningkatan gaji tidak boleh hanya bergantung kepada lantai gaji minimum sebaliknya perlu ada laluan perkembangan gaji yang jelas.
"Kita kena berlaku anjakan ataupun meneliti dengan lebih mendalam bahawa untuk kita menggerakkan gaji itu bukan semata-mata soal lantai gaji (wage floor), tetapi juga progression yang kita boleh gerakkan," katanya.
Beliau berkata Dasar Gaji Progresif yang dilaksanakan secara sukarela ketika ini turut melibatkan pemberian insentif oleh kerajaan kepada majikan yang menyertainya.
Namun jelas beliau kerajaan perlu meneliti sektor dan industri yang menunjukkan perkembangan gaji lebih baik serta bentuk kemahiran yang boleh mempercepatkan proses tersebut.
"Kita sudah ada dasar gaji progresif yang menilai dari segi insentif yang kerajaan lakukan. Perkara itu bersifat sukarela. Sementara sukarela, kerajaan beri subsidi."
Akmal berkata usaha meningkatkan gaji juga perlu mengambil kira produktiviti supaya peningkatan pendapatan pekerja selari dengan kemahiran, tanggungjawab dan sumbangan mereka.
"Kita tak nak berlaku kalau seolah-olah pandangan mengatakan kerajaan mendesak berlaku progression gaji itu berlaku setiap tahun tapi produktiviti itu tidak dilihat ataupun dibaca bersekali," ujarnya.
Beliau berkata lapisan pertengahan pasaran pekerjaan menjadi antara cabaran utama yang perlu ditangani bagi memastikan pekerja mempunyai laluan kerjaya dan peningkatan pendapatan yang lebih jelas.
Dalam masa sama, Akmal berkata pelaburan yang masuk ke negara perlu dinilai berdasarkan kesannya terhadap pekerjaan bernilai tinggi, pemindahan teknologi, peningkatan kemahiran dan produktiviti firma tempatan.
Katanya, matlamat Kementerian Ekonomi ialah memastikan pelaburan bukan sekadar menghasilkan angka pertumbuhan, tetapi turut mengubah struktur pekerjaan dan gaji.
Beliau berkata kerajaan juga perlu memastikan latihan yang dilaksanakan benar-benar meningkatkan kemahiran dan produktiviti sebelum diterjemahkan kepada pendapatan yang lebih tinggi.
"Tiga perkara yang kita kena lihat, pertama supaya pendapatan ataupun gaji mereka itu mendapat pulangan yang lebih tinggi. Yang kedua bagaimana gaji itu boleh bergerak dengan secara progresif dan nilainya itu setimpal," katanya.
Beliau berkata dapatan daripada Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) berkaitan gaji dan upah bagi 2025 juga akan digunakan untuk meneliti isyarat pasaran serta perbezaan antara gaji yang ditawarkan dengan pendapatan yang diterima rakyat.
"Sudah pasti proses ini akan ada dari segi dapatan-dapatan yang saya akan minta DOSM untuk kita work out melihat soal bagaimana isyarat-isyarat daripada pasaran dan juga hakikatnya perbezaan antara apa yang ditawarkan di luar sana dengan apa yang dibawa balik oleh rakyat dalam soal gaji," ujarnya.
Akmal berkata data median gaji bulanan RM2,940 bagi 2025 perlu dilihat sebagai asas bagi sasaran Rancangan Malaysia Ke-13 untuk menggerakkan median gaji ke arah RM3,500.
"Bukan adalah angka yang untuk kita dendangkan berlaku pertumbuhan tetapi itu adalah baseline untuk RMK-13 yang mana daripada RM2,940 itu untuk kita gerakkan ke arah RM3,500 soal median," katanya.
Beliau bagaimanapun mengingatkan bahawa median RM3,500 bermakna sebahagian pekerja masih berada di bawah paras itu, manakala sebahagian lagi berada di atasnya.
Akmal berkata isu gaji perlu ditangani secara langsung kerana peningkatan pendapatan rakyat menjadi antara ukuran penting sama ada pertumbuhan ekonomi benar-benar diterjemahkan kepada kehidupan mereka.
"Seterusnya adalah soal pendapatan ataupun gaji kepada rakyat yang mana biarlah gaji itu ada progres dan juga (apa) yang diterima itu adalah sewajarnya," katanya lagi.




Comments