Titah Agong tanda keselamatan negara tidak boleh dikompromi – Mahfuz
- Suara Keadilan
- 8 hours ago
- 2 min read

Titah tegas Yang di-Pertuan Agong selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) agar ejen dan orang tengah tidak dibenarkan berlegar di Kementerian Pertahanan disifatkan sebagai satu amaran serius berkaitan keselamatan negara dan bukan sekadar isu tatakelola pentadbiran semata-mata.
Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, Kementerian Pertahanan dan ATM wajar mengambil serius titah berkenaan dan memperbaiki pentadbiran serta urusan perolehan aset pertahanan pada masa depan.
"Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang mengurus maklumat strategik, aset ketenteraan serta kesiapsiagaan pertahanan negara perlu memastikan tiada ruang untuk rasuah, salah guna kuasa dan pembabitan orang tengah yang bukan sahaja mencemarkan integriti institusi, malah membuka ruang kepada kebocoran maklumat atau ancaman terhadap keselamatan negara," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau mengingatkan bahawa sejarah mutakhir telah menunjukkan dakwaan penjualan maklumat dan kewujudan kartel dalam perolehan pertahanan bukanlah isu kecil, dan tidak boleh dipandang remeh.
"Dalam dunia keselamatan, maklumat adalah senjata. Apabila maklumat bocor, nyawa anggota keselamatan dan kedaulatan negara dipertaruhkan," katanya.
Mahfuz turut menegaskan bahawa seperti yang dititahkan oleh Yang di-Pertuan Agong, kepimpinan berintegriti mesti bermula dari peringkat tertinggi, justeru pembersihan dalam Kementerian Pertahanan dan ATM perlu dilakukan secara menyeluruh tanpa kompromi.
"Pembersihan ini bukan untuk memalukan mana-mana pihak, tetapi untuk menyelamatkan institusi pertahanan negara."
Menurut beliau, usaha pembaharuan tersebut bukan bertujuan untuk memalukan mana-mana pihak, sebaliknya demi menyelamatkan institusi pertahanan negara daripada terus terdedah kepada risiko keselamatan.
"Keselamatan negara tidak boleh dikompromi demi kepentingan segelintir individu. Titah Agong wajar dijadikan titik mula reformasi integriti secara total dalam ekosistem pertahanan negara," katanya lagi.
Untuk rekod, pada 6 Jan lalu seramai 17 pengarah syarikat direman selama lima hari bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan rangkaian kartel tender perolehan Tentera Darat Malaysia (TDM).
Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan oleh Majistret Ezrene Zakariah selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Putrajaya.
Menurut SPRM, kesemua suspek terdiri daripada sembilan lelaki dan lapan wanita berusia lingkungan 20-an hingga 60-an yang ditahan antara jam 8.30 hingga 11.30 malam Isnin ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Putrajaya.





