Wan Ahmad Farid Ketua Hakim Negara baharu
- Suara Keadilan

- Jul 18
- 1 min read

Ketua Hakim Negara yang baharu diumumkan semalam selepas negara dibelenggu pelbagai spekulasi mengenai calon ketua hakim dan dakwaan wujud pelbagai isu dalam senario pelantikan hakim.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia, Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (gambar) diumumkan sebagai Ketua Hakim Negara Mahkamah Persekutuan yang baharu menggantikan penyandang terdahulu, Tun Tengku Maimun Tuan Mat yang sudah bersara wajib.
Pelantikan Wan Ahmad Farid diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim selepas mendapat nasihat Perdana Menteri dan rundingan bersama Majlis Raja-Raja, menurut kenyataan Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan pada Khamis.
Kenyataan sama turut mengumumkan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan, manakala Datuk Azizah Nawawi dilantik sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak, menggantikan penyandang jawatan itu yang bakal bersara.
Pelantikan berkenaan selaras dengan Fasal (1) Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kuasa kepada Agong untuk melantik hakim-hakim tertinggi negara atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.
Majlis mengangkat sumpah dan menandatangani watikah pelantikan akan diadakan pada 28 Julai di Istana Negara di hadapan Sultan Ibrahim.









Comments