Waktu PN perintah petrol RM2.05 seliter, mengapa sekarang mahu murah?
- Akmal Manaf

- Apr 6
- 2 min read

Dakwaan pembangkang bahawa harga minyak boleh diturunkan lagi sekiranya Malaysia menggunakan seratus peratus hasil petroleum dalam negara adalah mengarut, memandangkan langkah itu tidak pun dilaksanakan ketika pentadbiran Perikatan Nasional (2020 - 2022), khususnya sewaktu pandemik Covid-19 melanda sebelum ini.
Ketua Penerangan KEADILAN Melaka, Eddiarman Mohd Yunos, berkata meskipun harga minyak dunia merosot pada waktu itu dan rakyat amat terbeban, kerajaan PN tidak berupaya menurunkan harga bahan api kerana sememangnya pengeluaran petroleum negara tidak mencukupi untuk kegunaan domestik.
"Sebab apa? Sebab mereka takut. Sudahlah masa itu kerajaan terpaksa mengeluarkan belanja yang banyak untuk mengubat rakyat, membeli vaksin dan sebagainya.
"Mereka (PN) memang tidak mampu dan tidak berani untuk menurunkan harga minyak (pada ketika itu).

"Kenapa nak letak beban itu kepada pentadbiran Datuk Seri Anwar Ibrahim (sekarang) pula? Mereka meratib (harga petrol) RM1.50, RM1.50 sehingga ke hari ini.
"Sedangkan mereka sendiri pernah berada dalam kerajaan dan tahu bagaimana kronologi dan peningkatan harga minyak sejak 2008 ketika Anwar memperjuangkan penurunan harga petrol waktu itu (namun bukan sekarang). Tetapi kini apabila harga minyak dunia (meningkat), secara purata (harga minyak domestik) RM2 ke atas," katanya ketika dihubungi Suara Keadilan.
Beliau diminta mengulas dakwaan pembangkang mengenai penurunan harga minyak yang lebih bermakna sekiranya menggunakan hasil petroleum dalam negara, sedangkan Malaysia yang hanya melombong sekitar 400,000 tong petroleum manakala penggunaan domestik sekitar 900,000 tong sehari, tidak lagi dianggap negara pengeksport minyak (net expoter).
Bagaimanapun Eddiarman memuji pendekatan yang diambil Kerajaan MADANI dalam usaha meringankan beban rakyat ketika peperangan melanda rantau Timur Tengah.
"Saya lihat kerajaan pada hari ini berjaya menstabilkan harga bahan api RON 95 dengan subsidi sebanyak RM1.99 seliter.
"Kerajaan sudah melindungi rakyat dengan meletakkan harga subsidi tersebut. Jadi apa yang pihak pembangkang ‘duk loghat’ sangat (dengan perkara) ini?" soalnya.




Comments