
Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul meluahkan rasa terkilan apabila tidak ramai yang berniaga di Uptown Sungai Petani.
Beliau berkata, keadaan itu boleh dilihat dengan jelas ketika meluangkan masa untuk menemui para peniaga.
"Apa yang mengejutkan adalah didapati ramai peniaga tidak berniaga seperti kebiasaannya.. keadaan begitu lengang.
"Rata-rata peniaga yang saya temui mengadu dan meluah rasa kecewa mereka mengenai waktu perniagaan yang cukup singkat iaitu hanya sehingga jam 10 malam sahaja.
"Keadaan ini menyebabkan para peniaga sukar memperolehi keuntungan bahkan ada barangan jualan mereka langsung tidak terjual," katanya.
Katanya, perkara itu menyedihkan kerana peniaga telah mengeluarkan modal yang cukup besar apatah lagi Ramadan kali ini hanya berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum menjelang Aidilfitri minggu depan.
"Para pelanggan yang berkunjung ke sini juga agak kecewa kerana uptown ditutup lebih awal berbanding tahun-tahun sebelumnya. Hal ini kerana kebanyakan pelanggan hanya akan mula datang pada jam 9 malam ke atas atau selepas solat terawih.
"Saya amat berharap agar isu ini dapat diatasi dan ditangani dengan segera oleh kerajaan negeri bagi membela nasib para peniaga.
"Jika keadaan ini berterusan para peniaga disini akan menanggung kerugian.
Dalam keadaan yang serba mencabar ini, saya menyeru supaya kita bersama-sama menyokong dan membantu para peniaga," katanya.
Comments