Tindakan Ahli Parlimen pembangkang bertindak menyokong kerajaan kini merebak ke negeri apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selat Klang daripada Perikatan Nasional pula mengisytiharkan sokongan terhadap kepimpinan Menteri Besar Selangor hari ini.
Datuk Abdul Rashid Asari yang juga bekas Pengerusi Bersatu Selangor berkata keputusan itu dibuat setelah meneliti titah ucapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran kerajaan negeri berada di landasan tepat demi kemajuan negeri serta kesejahteraan rakyat.
Katanya, langkah itu turut mengambil kira beberapa siri tindakan PN terutamanya PN Selangor yang berdiam diri terhadap tohmahan dilontar kepada Raja-Raja Melayu yang menurutnya berlawanan dengan prinsip orang Melayu beragama Islam.
"Saya turut mengambil keputusan ini bagi memastikan kesejahteraan rakyat Selangor terutama penduduk di kawasan N44 Selat Klang akan menerima manfaat daripada kerajaan yang stabil serta padu," katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun, Abdul Rashid berkata beliau kekal komited sebagai ahli Bersatu.
Sementara itu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Lau Weng San ketika ditemui pemberita di lobi Wisma Dewan Negeri Selangor memaklumkan belum menerima pemakluman berhubung tindakan Abdul Rashid setakat pukul 1.50 tengah hari ini.
"Kedudukan (kerusi dalam DUN Selangor), saya akan bincang balik sebelum membuat keputusan berkaitannya dan kalau mengambil kira pernyataan sokongan Selat Klang, maka kedudukan PN di DUN Selangor adalah 21 kerusi," katanya dipetik.
Comments