top of page

Wakil rakyat Pembangkang 'hilang': Ismail Sabri meludah ke langit - Halimey



Tuduhan dilontarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang khas Dewan Rakyat semalam kononnya wakil rakyat pembangkang 'hilang' ketika banjir melanda Selangor diibaratkan seperti meludah ke langit.


Menurut Ketua Penerangan KEADILAN Selangor, Halimey Abu Bakar, siapakah sebenarnya yang hilang pada 17 Disember?


Katanya, bukankah terdapat foto PM Ismail sendiri ketika itu yang sedang memotong kek di satu mesyuarat perwakilan Umno, sedangkan wakil rakyat pembangkang sedang bergerak ke kawasan yang mula dinaiki air untuk membantu mangsa banjir.


"Sangat jelik seorang PM yang sibuk memotong kek ketika rakyat sedang menyabung nyawa dan merayu minta diselamatkan ketika air naik mendadak bulan lalu mengeluarkan kenyataan sedemikian rupa. Itu belum lagi perangai jelik Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan yang sibuk ke majlis makan malam perhimpunan Umno ketika banjir itu


"Apakah penipuan yang cuba dilakukan Ismail Sabri dengan memberitahu Dewan Rakyat, beliau bergegas melawat kawasan banjir pada lewat malam ketika musibah melanda dan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Negeri (ADN) pembangkang tidak kelihatan?


"Adakah semata-mata hadir berbaju Melayu dan berada di bilik selesa berhawa dingin untuk mendengar taklimat boleh dianggap membantu?" tanyanya.


Tegas ADUN Seri Setia itu, ketika pemimpin Umno masih leka, Ahli Parlimen Pembangkang seperti Ketua Pembangkang yang juga Presiden KEADILAN Datuk Seri Anwar Ibrahim telah turun seawal pagi 18 Disember. Sedangkan, katanya, kelibat Ismail Sabri hanya dilihat pada 19 Disember.


"Itupun setelah mengumumkan kehadirannya kepada media sehari sebelum melakukan lawatan di sekitar kawasan Klang berdasarkan sebaran aplikasi WhatsApp.


"Beliau juga mengatakan tidak nampak Ahli Parlimen Pembangkang dan ADN kerajaan Selangor pada waktu malam ketika banjir melanda. Bagaimana mungkin beliau nampak kerana beliau hanya turun melakukan gimik membersihkan kawasan yang terkesan setelah banjir surut, berbanding Ahli Parlimen Pembangkang dan ADN yang berada sejak dari awal bersama penduduk," ujarnya.


Halimey memberi contoh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari telah turun meredah banjir bagi menyelamatkan penduduk yang terperangkap.


Walaupun dengan kelengkapan yang terhad akibat bantuan yang dijanjikan dari kerajaan pusat tidak kunjung tiba, katanya, Amirudin tetap menunjukkan tauladan yang baik selaku seorang pemimpin utama negeri.


"Berbeza pula dengan Menteri dan Ahli Parlimen kerajaan yang keluar negara walaupun setelah banjir melanda dan hanya turun melakukan gimik mencuci najis cicak dan burung seperti dilakukan Rina Harun. Kritikan Ismail terhadap kerajaan negeri Selangor dalam mengurus bencana banjir juga menunjukkan yang beliau seorang Perdana Menteri yang tidak layak memimpin negara.


"Mengapa aset kerajaan pusat bernilai berbilion ringgit tidak digerakkan sejak dari awal banjir melanda? Adakah beliau lupa saudara Noh Omar merupakan Pengerusi Majlis Keselamatan Negeri Selangor sejak November 2021?


"Ini mungkin boleh menjawab persoalan kenapa koordinasi bantuan antara Persekutuan dan Negeri terlalu teruk sehingga ada rakyat yang mati menunggu bantuan yang tak kunjung tiba. Mungkin masih sibuk dengan Persidangan Umno?" tanya beliau lagi.


Tambahnya, kenyataan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah cukup mendedahkan betapa lemahnya Kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Ismail bertindak menguruskan bencana banjir.


Katanya, kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) Datuk Dr Abdul Latif Ahmad Latiff di Dewan Rakyat minggu lepas bahawa Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak terlibat secara langsung dalam urusan kejadian bencana alam seperti banjir di peringkat negeri amat mengecewakan.


Disebabkan hal itu, kata Halimey, pihak ATM terpaksa “melupakan” agensi bencana itu dan berusaha sendiri untuk menyelamatkan mangsa-mangsa banjir yang terkandas.


"KEADILAN Selangor dalam hal ini, ingin mengingatkan kepada PM, Ahli Parlimen dan ADN yang berpihak kepada Kerajaan Persekutuan bahawa nyawa rakyat yang terkorban akibat banjir tidak mungkin mampu dikembalikan semula, namun kegagalan Kerajaan Gabungan BN dan PN mengurus bencana akan dikenang selamanya oleh rakyat Malaysia," katanya lagi.



0 comments

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 NEGARA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
8,075
76
15,456
Total
2,285,640
26,759
2,116,021

Sumber dari Kementerian Kesihatan Malaysia

PERKEMBANGAN TERKINI COVID 19 DUNIA

Title
Jumlah Kes
Kematian
Pulih
Kes Baru
393,631
6,015
582,401
Total
236,060,214
4,821,346
211,396,635

Sumber dari WHO (World Health Organization)

TWITTER

bottom of page