top of page

Wakil Malaysia ke PBB seru keganasan Israel dihentikan

Writer: Suara Keadilan
Suara Keadilan
Nov 1, 2023
1 min read


Oleh: Abdullah Zaid


Malaysia mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melalui Majlis Keselamatan mencapai kesepakatan bagi menoktahkan konflik Palestin-Israel.


Menerusi satu kenyataan, Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datuk Dr Ahmad Faisal Muhamad berkata situasi di Semenanjung Gaza pada ketika ini memerlukan bantuan kemanusiaan dengan segera.


Hal ini katanya, konflik berdarah itu menyaksikan pengeboman ke atas hospital, tempat ibadat dan bangunan awam yang jelas melanggari Konvensyen Geneva.


"Penduduk Gaza pada ketika ini menghadapi isu kemanusiaan yang sangat gentir apabila kemudahan air, elektrik dan bekalan bahan api disekat.


"Selain itu, lebih 1.4 juta atau 62 peratus penduduk di utara Gaza dipindah ke Selatan secara paksa.


"Malaysia bertegas menolak langkah Israel kerana melanggar undang-undang antarabangsa," katanya di Sesi Khas Tergempar Ke-10, Perhimpunan Agung PBB Mengenai Keadaan Di Timur Tengah Termasuk Palestin.


Justeru, wakil Malaysia itu menggesa Majlis Keselamatan (PBB) mengambil tindakan segera bagi menghentikan jenayah kemanusiaan Israel ke atas rakyat Palestin dihentikan.


"Malaysia berpandangan hanya dengan menamatkan penjajahan dan penindasan Palestin sahaja yang dapat mengekal keamanan dan keselamatan serantau.


"Oleh itu, Malaysia sentiasa menyokong rakyat Palestin melalui penubuhan negara yang bebas dan merdeka," jelasnya lagi.


Pada 30 Oktober lalu, Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) menerima resolusi yang menyeru gencatan senjata segera selain bantuan kemanusian serta perkhidmatan penting sampai ke Semenanjung Gaza tanpa sebarang halangan.


Menerusi Sidang Khas Tergempar ke-10 itu menyaksikan sebanyak 120 negara anggota mengundi untuk menyokong, 45 tidak mengundi manakala 14 menentang.

Comments


Langgan Buletin Keadilan Sekarang!

Terima Kasih Kerana Melanggan!

Copyright © 2026 Suara Keadilan. Hak Cipta Terpelihara.

Ikuti Kami

  • facebook
  • twitter
  • youtube
  • instagram
  • telegram
bottom of page